72baf2ce-a1f7-4f0d-8e0e-86896fa8c713
72baf2ce-a1f7-4f0d-8e0e-86896fa8c713

Muhammad Zaid Yang Dipertua MPP baharu, 27 MPP USIM Sesi 2021/2022 terima watikah pelantikan

Roshlawaty Md RaiehRoshlawaty Md Raieh
08 Jan 2022 10:08pm

NILAI - Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sesi 2021/2022 kepada 27 barisan Ahli Majlis Tertinggi dan Exco telah berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, baru-baru ini.

Majlis penyampaian itu disempurnakan Naib Canselor USIM, Profesor Datuk Dr Mohamed Ridza Wahiddin.

Barisan MPP diterajui oleh Muhammad Zaid Abdul Karim, 21, penuntut Tahun Tiga Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah yang telah dilantik secara rasmi sebagai Yang Dipertua MPP bagi sesi 2021/2022 bersama ahli-ahlinya yang dipilih melalui Pemilihan MPP, 9 Disember lalu.

Muhammad Zaid merupakan mantan Pengerusi Urusetia Latihan Pembangunan Mahasiswa sesi 2020/2021 membawa motto “Bersama Menginovasi Aspirasi” sebagai satu bentuk kesinambungan kepada dasar dan perancangan strategik MPP terdahulu.

Beliau berkata, matlamat utama MPP kali ini adalah untuk membangunkan mahasiswa dengan memperkasakan budaya intelektual dan kemahiran tadbir urus yang efektif dan inovatif.

Baca juga Dulu Komander Perbarisan, kini Pegawai Kanan Polis. Tahniah Nuraida, kami bangga dengan anda!

Baca juga 88 Pegawai Kadet PALAPES UTM dan UTHM ditauliah sebagai Pegawai Muda

Kepimpinan kali ini akan berganding bahu bersama pengurusan universiti dalam usaha melahirkan pelajar USIM yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik bahkan mampu memberi manfaat sehingga membawa arus perubahan dalam masyarakat dan orang di sekeliling.

“Empat objektif utama kepimpinan MPP kali ini adalah untuk memastikan kebajikan mahasiswa terpelihara dalam setiap aspek melalui kerjasama pusat tanggungjawab dan badan pelajar berkaitan memperkasa nilai prosumerisme dalam kalangan mahasiswa, mengintegrasikan budaya intelektualisme bersama dasar kerohanian melalui diskusi dan wacana ilmiah berimpak tinggi dan membudayakan nilai profesionalisme sebagai tunjang pengurusan organisasi,” ujar Muhammad Zaid dalam ucapan dasarnya sebagai Yang Dipertua MPP yang baharu.

Sementara itu, Dr Mohamed Ridza pada majlis penyampaian watikah tersebut mengingatkan mahasiswa yang dilantik menjadi seorang pemimpin bukanlah satu keistimewaan untuk dimegahkan tapi ia penuh dengan cabaran dan pengorbanan.

“Ia juga bukanlah satu kemewahan dan kesenangan bagi mencapai kepuasan diri sendiri tapi ia perlu kepada strategi dan perancangan yang mantap dalam menyelesaikan sesuatu masalah.

“Kepimpinan adalah wadah kepada kesejahteraan, pembangunan dan keharmonian di dunia dan di akhirat,” katanya.

Tambah beliau, Pelan Tindakan Pembangunan Pelajar Bersepadu atau Integrated Student Development Action yang dibangunkan pada tahun 2021 dan diterajui Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) diharap dapat memperkasakan dan memberikan hala tuju baharu dalam aspek pembangunan pelajar.

Ikuti juga kami di:

Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/

Twitter: https://twitter.com/GPSBestari

Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/ 

“Ini kerana pelan ini dilihat sebagai kerangka komprehensif yang mana Modul GIINA yang sedia ada adalah salah satu dasarnya.

“Kerangka ini telah mensinergikan pendekatan yang diambil dalam aspek pembangunan pelajar dari akar umbi dan memfokuskan kepada aspect by design yang lebih menyeluruh dan berhala tuju serta lebih berobjektif.” ujarnya lagi.

Terdahulu, pemilihan MPP USIM telah dijalankan sepenuhnya secara dalam talian (online) bermula dengan proses penamaan calon, kempen sehinggalah ke proses pengundian.

USIM berjaya mencatat jumlah undi sebanyak 89.54 peratus dan peratusan ini mewakili 10,065 pelajar daripada 11,240 pelajar yang layak mengundi bagi memilih sembilan wakil siswa di Kerusi Umum dan 18 wakil siswa untuk mengisi Kerusi Fakulti.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp