HomeIPTBuletin IPTNuha Bahrin Casablanca genggam Sarjana Muda, hadiah buat ibu bapa

Nuha Bahrin Casablanca genggam Sarjana Muda, hadiah buat ibu bapa

Pendatang baharu industri muzik tanah air, Nuha Sakinah Saiful Bahrin atau lebih dikenali sebagai Nuha Bahrin menggenggam Sarjana Muda Pemasaran (Kepujian) pada Majlis Konvokesyen Universiti Multimedia (MMU) 2022 di Cyberjaya baru-baru ini.

Nuha Bahrin yang memperoleh ijazah kelas pertama itu berkata, dia menghadiahkan kejayaan berkenaan kepada ibu bapa tercinta yang banyak memberi sokongan dan dorongan sepanjang pengajian serta berkecimpung dalam bidang seni.

“Saya sangat bersyukur kerana dapat membuatkan ibu bapa gembira dengan kejayaan ini. Tanpa sokongan dan dorongan mereka, saya tidak akan mengukir kejayaan seperti hari ini.

“Ibu bapa dan rakan-rakan merupakan pembakar semangat kepada saya untuk berjaya dalam pengajian dan industri muzik kerana tidak jemu dalam memberi sokongan,” katanya ketika dihubungi Sinar Bestari.

Wanita manis berusia 22 tahun itu memberitahu, resipi kejayaannya adalah membuat sesuatu perkara dengan hati yang ikhlas dan jangan sesekali menyerah kalah.

Dia yang terkenal dengan lagu duet Casablanca bersama Naufal Azrin itu, memberitahu, perlu mengimbangi masa pengajian dan sebagai anak seni.

“Bagaimanapun, jika kita minat sesuatu perkara dan memberi tumpuan serta mencuba sebaik mungkin tiada yang mustahil untuk dikecapi dalam kehidupan.

“Pengalaman sepanjang hampir empat tahun pengajian, terdapat beberapa ketika saya akan mengulang kaji pelajaran dan menduduki peperiksaan di kafe berikutan terdapat rakaman ataupun sidang media,” ujarnya.

Dalam pada itu, dia memberitahu, perancangan selepas menamatkan pengajian adalah memberi tumpuan kepada kerjaya seni.

“Saya ingin melihat sejauh mana saya boleh pergi dalam industri ini.

“Selain itu, saya berhasrat memiliki jenama pakaian sendiri dan jika diberi peluang ingin berkolaborasi dengan jenama-jenama terkenal tanah air,” katanya.

Menutup bicara, Nuha Bahrin memberitahu, impian tidak boleh dicapai tanpa minat dan keikhlasan.

Artikel berkaitan

Atlet MMU banggakan Malaysia dengan 5 emas di Thailand

Karya filem pendek pelajar MMU bakal ditayang di luar negara

200 penuntut MMU teruja terima gajet Program PerantiSiswa


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok