MMU-PERANTI-SINAR BESTARI-01112022
MMU-PERANTI-SINAR BESTARI-01112022

200 penuntut MMU teruja terima gajet Program PerantiSiswa

nadzarul.amir
01 Nov 2022 05:53pm
A
A
A

Seramai lebih 200 penuntut Universiti Multimedia (MMU) daripada keluarga B40 melahirkan rasa gembira menerima gajet Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia di kampus MMU Cyberjaya, baru-baru ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, pengagihan peranti-peranti berkenaan adalah untuk membantu proses pembelajaran para penuntut.

“Inisiatif dilaksanakan kerajaan adalah untuk memastikan para penuntut universiti di negara ini tidak ketinggalan dengan ledakan teknologi dalam era digital hari ini.

“Pengagihan peranti berkenaan adalah sebagai penghargaan dan pemangkin kepada semua para penuntut untuk terus belajar serta memperoleh keputusan cemerlang," katanya dalam kenyataan media ketika berucap pada majlis penyerahan PerantiSiswa di Kampus MMU, Cyberjaya, baru-baru ini.

Hadir sama dalam majlis berkenaan ialah Presiden MMU, Profesor Datuk Dr Mazliham Mohd Su’ud.

Beliau menambah, kerajaan juga menanggung kos pembiayaan memiliki peranti berkenaan secara percuma agar tidak membebankan para penuntut daripada golongan keluarga B40.

Dalam pada itu, penuntut Ijazah Sistem Maklumat, Putri Nor Asmah Ab. Syukor, 21, memberitahu dia sangat teruja apabila terpilih sebagai penerima daripada 2,000 permohonan di universiti terbabit.

“Saya sangat memerlukan peranti ini untuk membantu pengajian di universiti. Sebelum menerima peranti baharu, saya berkongsi bersama adik-beradik yang lain,” katanya.

Putri Nor Asmah memberitahu, bapanya merupakan pemandu e-hailing manakala ibunya tidak bekerja.

Bagi Hon Yao Feng, 19, dari Kulai, Johor yang merupakan penuntut Diploma Multimedia Kreatif, dia berharap peranti itu dapat membantu memudahkan pembelajaran sekali gus melakar keputusan cemerlang dalam mata pelajaran.

Berkongsi pandangan sama, Purneswari Chandrasekaran, 21, memberitahu peranti tersebut boleh membantunya dalam menyiapkan tugasan dalam pengajian Sains Komputer (Sains Data).

“Saya boleh memberi tumpuan pada pengajian malah tidak perlu lagi berkongsi peranti bersama empat adik-beradik lain,” ujarnya.

Artikel berkaitan

Tindakan pelajar jual tablet PerantiSiswa perlu dilihat secara menyeluruh – Haim Hilman

“Belajar untuk amanah dan jujur” – Cikgu Mohd Fadli terkilan pelajar ambil kesempatan jual tablet PerantiSiswa

14 kes penjualan tablet PerantiSiswa dikesan, tindakan tegas akan dikenakan


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok