Pameran UNLOCK: FCM Graduation Show 2022 cetus gelombang baharu dalam industri kreatif
Pameran UNLOCK: FCM Graduation Show 2022 cetus gelombang baharu dalam industri kreatif

Pameran UNLOCK: FCM Graduation Show 2022 cetus gelombang baharu dalam industri kreatif

Roshlawaty Md Raieh
14 Sep 2022 04:50pm
A
A
A

Para pelajar Fakulti Multimedia Kreatif (FCM), Universiti Multimedia Malaysia (MMU) mencetuskan gelombang baharu dalam industri kandungan kreatif apabila berjaya menghasilkan karya bermutu dalam pameran ‘UNLOCK: FCM Graduation Show 2022’ di kampus MMU Cyberjaya, baru-baru ini.

Ia adalah satu kejayaan menganjurkan pameran reka cipta kreatif secara fizikal bagi kumpulan pelajar tahun akhir selepas negara beralih ke fasa endemik.

Sebanyak 89 projek tahun akhir yang berkualiti dalam pameran tersebut telah dipamerkan dan ini membuktikan semua pelajar mampu melahirkan karya bernilai tinggi melalui suasana persekitaran kondusif yang tersedia di kampus dan kelas.

Dekan FCM, Ts Dr Lim Kok Yoong berkata, pameran ‘UNLOCK: FCM Graduation Show 2022’ adalah untuk meraikan kejayaan para pelajar menyiapkan projek tahun akhir sekali gus menjadi sebahagian daripada latihan serta persediaan untuk mereka memasuki alam pekerjaan sebenar dalam industri kreatif.

Dr Kok Yoong

“Pameran ini dibuka kepada orang awam untuk membolehkan mereka menilai hasil kerja keras para pelajar dan pada masa sama pemain industri boleh mencari bakat-bakat baharu yang mereka gemari.

“Pihak industri juga boleh menyaksikan bahan pameran berkualiti yang terhasil daripada kurikulum subjek di FCM,” ujarnya dengan menambah pameran tahunan yang diadakan di e-Galeri itu adalah platform penting untuk pelajar FCM mempersembahkan kreativiti dan mempromosikan program fakulti kepada masyarakat.

Sementara itu, Pensyarah FCM, Sy Nurleyana Wafa Sy Naguib Wafa berkata, secara tradisinya pameran ‘UNLOCK: FCM Graduation Show 2022’ adalah acara yang amat dinanti-nantikan oleh warga MMU dan masyarakat untuk melihat bakat-bakat terbaik dalam kalangan pelajar FCM.

Sy Nurleyana Wafa

“Tahun ini, kita meraikan pencapaian pelajar dengan mempersembahkan projek terbaik dalam program Rekabentuk Pengiklanan, Rekabentuk Interface, Seni Media, Kesan Visual, Realiti Maya (VR), Grafik Gerakan dan Model 3 Dimensi dan Animasi.

“Alhamdulillah, kesemua projek itu berjaya dihasilkan dengan baik dan turut mendapat pujian ramai,” ujarnya.

Projek akhir pelajar

Tiga pelajar FCM, MMU, iaitu Raisa Musthofa, Siti Munirah Razaly dan Nur Afshaa Mohd Ameeruddin telah mempamerkan projek kandungan kreatif bertajuk ‘Virtual Reality Simulation for Vehicle Inspection Routine’ untuk membantu calon-calon menduduki 28 bahagian pemeriksaan dalam ujian lesen memandu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Dari kiri, Raisa, Siti Munirah dan Nur Afshaa.

Salah seorang pelajarnya, Raisa berkata, projek tersebut memberi alternatif dalam kaedah pembelajaran secara realiti maya semasa pemeriksaan rutin kenderaan, berbanding kaedah tradisional.

“Projek ini menyediakan platform untuk calon-calon menguji dan berlatih secara maya tentang rutin-rutin sebelum mereka memulakan pemanduan,” katanya.

Nur Afshaa pula berkata, idea menghasilkan ciptaan itu tercetus selepas membaca beberapa laporan berita dan kandungan media sosial tentang kesukaran calon belajar memandu.

Justeru, mereka terpanggil untuk memudahkan kaedah belajar bagi calon yang hendak mengambil lesen memandu dengan menggunakan teknologi terkini seperti realiti maya untuk kegunaan sekolah memandu.

Sementara itu, pelajar Loh Zi Yang pula menampilkan projek bertajuk ‘MITRICA’ yang menampilkan ciptaan multimedia kreatif mengenai bagaimana sesebuah perniagaan kecil boleh menggunakan aplikasi tetingkap timbul dengan teknologi hijau pada masa depan.

Zi Yang menggunakan basikal elektrik yang dilengkapi dengan storan mudah alih dan panel solar untuk menghasilkan peranti mempunyai reka bentuk menarik dengan kos yang mudah dan guna tenaga yang rendah.

Dalam pada itu, seorang pengunjung Azzidin Abd Aziz dan isterinya, Zarina Abdullah melahirkan rasa kagum dengan kualiti dan kreativiti semua projek itu.

Azzidin

“Karya-karya dalam pameran ini mencerminkan kesungguhan para pelajar kerana ia setanding dengan kehendak industri kreatif negara. Saya percaya, hasil kerja ini bukan sahaja layak untuk dipamerkan dalam pameran tempatan dan antarabangsa tetapi juga ia mempunyai nilai komersil yang sangat tinggi,” ujar mereka.

Artikel berkaitan 

Atlet MMU banggakan Malaysia dengan 5 emas di Thailand

3 Penyelidik MMU tersenarai antara Top 2% Scientists in the World

Tidak takut gagal, jadi resipi utama kejayaan penerima Anugerah Presiden Majlis Konvokesyen MMU Ke-22


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok