WhatsApp Image 2022-03-22 at 2.21.29 PM
WhatsApp Image 2022-03-22 at 2.21.29 PM

Tidak takut gagal, jadi resipi utama kejayaan penerima Anugerah Presiden Majlis Konvokesyen MMU Ke-22

Adlan Farhan Azwan
22 Mar 2022 05:25pm
A
A
A

CYBERJAYA – Tidak sesekali takut kepada kegagalan merupakan antara rahsia kejayaan graduan Ijazah Sarjana Muda Kewangan Multimedia Universiti (MMU), Muhammad Anwar Abd Samaad sehingga dinobatkan sebagai penerima Anugerah Presiden dan Anugerah Permata pada Majlis Konvokesyen MMU Ke-22 yang diadakan di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, sikap pantang mengalah yang dimiliki telah mengingatkannya bahawa setiap kegagalan mempunyai hikmah tersendiri.

"Fokus saya ialah sentiasa cuba melakukan dengan cara terbaik dan bukannya memberi tumpuan kepada hasil semata-mata.

Muhammad Anwar, penerima Anugerah Presiden dan Anugerah Permata.

“Saya juga berpendirian bahawa kegagalan ialah guru terbaik yang perlu dilihat sebagai suatu peluang untuk memperbaiki diri dan kerana itulah saya tidak pernah takut untuk gagal,” katanya pada majlis konvoksyen itu.

Baca juga

Graduan UUM bawa gambar arwah bapa masa konvo

(VIDEO) Hasrat arwah hadiri konvokesyen tidak kesampaian, adik mangsa nahas motosikal pujuk ibu bapa jadi wakil

Sesi pertama Majlis Konvokesyen MMU Ke-22 menyaksikan seramai 13 penerima Anugerah Permata termasuk Anugerah Presiden dan Anugerah Canselor diumumkan bagi mengiktiraf kecemerlangan mereka.

Para penerima anugerah berkenaan merupakan sebahagian daripada 3,584 pelajar yang bergraduat pada tahun 2021.

Sementara itu, seorang lagi penerima Anugerah Canselor dan Anugerah Permata, Teo Yar Lee yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik pula berkata, penganugerahan itu disifatkannya sebagai pengiktirafan terhadap kerja kerasnya dalam bidang akademik dan aktiviti kokurikulum semasa berada di universiti.

Teo Yar Lee, penerima Anugerah Canselor dan Anugerah Permata.

“Penganugerahan ini adalah peristiwa terindah yang pernah saya alami dan saya dedikasikan kejayaan ini kepada ahli keluarga, pensyarah serta sahabat handai kerana tanpa mereka, saya tidak mampu berada di sini," jelasnya.

Kesungguhan Yar Lee dalam menimba ilmu ternyata membuahkan hasil apabila berjaya mencapai Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.99 dan sekali gus terpilih menerima dua anugerah tersebut.

Antara kerja kerasnya termasuk menyiapkan projek tahun akhir yang berpotensi untuk dikomersialkan dan juga peranan aktifnya sebagai Presiden kepada Institute of Electrical and Electronics Engineers Woman in Engineering (IEEE) Women in Engineering (WIE) Cawangan MMU.

Lim Zhou Yi, penerima Anugerah Presiden dan Anugerah Permata.

Dalam pada itu, Presiden MMU, Profesor Datuk Dr Mazliham Mohd Su’ud berkata, konvokesyen kali ini menunjukkan bahawa universiti terus berjaya melahirkan pakar-pakar untuk pelbagai industri meskipun berdepan pelbagai cabaran dalam tempoh pandemik Covid-19.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

“Sudah menjadi tanggungjawab universiti untuk bersama-sama dengan alumni MMU di seluruh dunia bagi meningkatkan lagi pembangunan universiti ini ke tahap yang lebih tinggi sekali gus melahirkan lebih ramai graduan berkemahiran," ujarnya.

Canselor MMU, Tun Datuk Seri Zaki Tun Azmi hadir menyampaikan anugerah dan skrol pada hari pertama majlis konvokesyen itu manakala Pro-Canselor MMU, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Zakri Abdul Hamid pula menyampaikan skrol pada hari kedua majlis.

Dalam majlis konvokesyen itu, seramai 3,584 menerima ijazah masing-masing membabitkan 2,143 graduan bagi program ijazah sarjana muda, 1,295 diploma, 108 sarjana, dan 38 Doktor Falsafah (PhD).

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok