tr10-11122022-konvo-umt_2810491_20221211173249
tr10-11122022-konvo-umt_2810491_20221211173249

Pasangan suami isteri teruja kongsi pentas konvokesyen

Adlan Farhan Azwan
13 Dec 2022 04:09pm
A
A
A

Pasangan suami isteri, P Thuban, 32 dan M Hasivini, 31, merakam momen indah dalam kehidupan apabila berkongsi pentas pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Ke-20 selepas berjaya menamatkan pengajian.

Mereka merupakan graduan Ijazah Sarjana Pengajian Perniagaan di kampus cawangan UMT, Cyberjaya.

Thuban, yang bertugas sebagai kapten kapal, berkata, dia tidak menjadikan kesibukan kerja sebagai satu alasan untuk terus menimba ilmu demi menjamin masa depan lebih baik dalam persekitaran dunia semakin mencabar.

“Sepanjang tempoh pengajian selama dua tahun, pelbagai cabaran terpaksa ditempuh bagi memperoleh kejayaan ini.

“Hampir 80 peratus proses pengajian saya berjalan secara dalam talian di atas kapal kerana jadual kerja selama tiga bulan di laut dan dua bulan di darat dan ditambah pula dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika itu.

“Malah, saya terpaksa menduduki peperiksaan ketika berada di atas kapal kerana perlu berlayar di laut pada waktu tersebut,” katanya ketika menghadiri Majlis Konvokesyen UMT Ke-20 di Dewan Sultan Mizan, Kuala Terengganu, Terengganu baru-baru ini.

Menurut anak kelahiran Rawang, Selangor itu, meskipun sebahagian besar masa pembelajaran belajar adalah ketika berada di atas kapal, ia tidak menjadi masalah besar kecuali rangkaian Internet yang kadang kala tidak menentu di tengah laut.

Dalam pada itu, Hasivini yang memulakan pengajian selepas dua bulan mendirikan rumah tangga berkata, membahagikan tugas sebagai isteri, pekerja dan pelajar adalah antara cabaran perlu dihadapi sepanjang tempoh pengajian di UMT.

“Ia adalah satu cabaran besar untuk mengimbangi tiga tugas dalam satu masa, lebih-lebih lagi saya baru sahaja merasai alam berumah tangga," katanya yang bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat perkapalan swasta di Kuala Lumpur.

Seramai 1,601 pelajar termasuk graduan Ijazah Sarjana, Ijazah Sarjana Muda dan Diploma diraikan dalam majlis konvokesyen yang berlangsung selama dua hari bermula 11 dan 13 Disember ini.

Upacara perasmian disempurnakan oleh Canselor UMT, Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah.

Pada majlis itu, Sultanah Nur Zahirah turut berkenan menyampaikan hadiah Anugerah Pelajaran Diraja kepada dua graduan Ijazah Sarjana Muda iaitu Muhammad Syauqi Jafree dan Hoe Ling atas kecemerlangan dalam bidang akademik, kepimpinan serta kokurikulum.

Artikel berkaitan

Hasrat bapa lihat kejayaan anak di pentas konvokesyen tidak kesampaian

2 pasangan kembar kebanggaan keluarga, graduasi serentak

Suka duka kehidupan 3 graduan OKU yang ramai tidak tahu


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok