HomeIPTPelajar autisme, Nur Arif ingin jadi pensyarah kini pelajar PhD di UIAM

Pelajar autisme, Nur Arif ingin jadi pensyarah kini pelajar PhD di UIAM

Ingin menjadi seorang pensyarah. Itulah cita-cita seorang pelajar autisme, Nur Arif Jasmin, 30, yang kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD) dalam bidang Pengajian Qur’an dan Sunnah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Sejak di bangku sekolah lagi, anak ketujuh daripada lapan adik-beradik itu telah didedahkan dengan ilmu agama oleh ibunya yang merupakan seorang guru mengaji al-Quran.

Nur Arif bersama ahli keluarga selepas menghadiri Majlis Konvokesyen UIAM Ke-36, baru-baru ini.

Dia kemudiannya didaftarkan di Sekolah Menengah Agama (SMA) Shamsuddiniah, Gerisek, Johor sehingga ke peringkat Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan seterusnya melanjutkan pengajian di UIAM dalam bidang Fiqh dan Usul Fiqh bagi peringkat ijazah sarjana muda dan ijazah sarjana.

Di sebalik pencapaian yang membanggakan itu anak kelahiran Tanjung Malim, Perak ini tidak terkecuali daripada berhadapan pelbagai cabaran dan ujian seperti dibuli dan ditertawakan yang berpunca daripada kekurangan kesedaran masyarakat sekeliling mengenai keadaannya.

Bagi menangani kesedihan yang dialami, Nur Arif akan melakukan aktiviti yang menyeronokkan antaranya bermain permainan Power Rangers, tanah liat dan mainan helikopter.

Sebahagian daripada permainan yang ada di DSU untuk Nur Arif.

Sepanjang lebih lima tahun melanjutkan pengajian di UIAM, dia sentiasa mendapat sokongan dan bimbingan dari pihak universiti seperti Unit Perkhidmatan Kelainan Upaya (DSU) dan Pusat Perkhidmatan Kaunseling dan Kerjaya (CCSC).

Menurut Ketua DSU, Profesor Dr Ruzita Mohd Amin, pihaknya telah merangka pelbagai inisiatif yang dikhususkan kepada Nur Arif supaya dia dapat menjalani proses pengajian dengan baik.

“Kami di DSU sentiasa prihatin dengan kebajikan pelajar seperti Nur Arif yang sememangnya memerlukan perhatian yang lebih berbanding pelajar-pelajar yang lain.

“Kebiasaannya, sebelum Nur Arif pergi ke kelas, kami akan melukis satu peta untuk memudahkan dia mencari kelas kerana dia sering tersesat.

“Setiap pensyarah akan diberikan senarai nama pelajar sebelum memulakan kelas, jadi kami akan tandakan nama pelajar yang OKU supaya pensyarah dapat menyediakan keperluan pengajian yang sepatutnya,” katanya ketika ditemui di UIAM, baru-baru ini.

Ketua Unit DSU, Profesor Dr Ruzita Mohd Amin sentiasa memberi sokongan dan bimbingan kepada Nur Arif.

Jelas beliau, pihaknya sentiasa mengadakan perbincangan dengan dekan dan juga para pensyarah tentang cara untuk memberikan bimbingan yang terbaik kepada pelajar golongan OKU.

“Terdapat pelbagai aspek yang perlu diperhalusi terlebih dahulu antaranya ialah akademik, pengurusan masa dan kolej kediaman.

“Bagi pelajar autisme seperti Nur Arif, kami akan memaklumkan kepada ketua asrama untuk diberikan kelonggaran dan akan cuba sedaya upaya untuk memenuhi permintaan para pelajar.

“Semasa sesi pengajian pula, pensyarah akan memberikan bimbingan dengan mengajar secara perlahan bagi memudahkan Nur Arif memproses segala pembelajaran yang diberikan,” tambahnya.

Selain itu, Nur Arif juga sering dibantu oleh para sukarelawan dan rakan-rakan daripada Kelab Ibn Ummi Maktum yang terdiri daripada pelajar UIAM.

Kini, Nur Arif tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada kawan-kawannya mahupun sukarelawan untuk menjalani kehidupan seharian di kampus kerana dia sudah berani untuk berdikari sehinggakan mampu untuk menghulurkan bantuan kepada rakan-rakan OKU yang lain.

Memandangkan dia adalah pelajar PhD, Nur Arif sentiasa meluangkan masa lapangnya dengan membantu pelajar berkeperluan khas lain seperti membacakan soalan peperiksaan dan memimpin ke kelas untuk pelajar OKU penglihatan.

Nur Arif yang sedang memakai kostum Power Rangers bersama rakan-rakan di kampus. Kredit foto: Facebook Nur Arif

Hasil keyakinan yang dibina sejak beberapa tahun yang lalu berjaya menjadikan Nur Arif terpilih sebagai penterjemah untuk sebuah kitab aqidah terbitan Santai Ilmu Publications.

Bukan itu sahaja, bakat seni reka grafik yang terpendam turut dapat dicungkil apabila dilantik sebagai pereka grafik bagi Pusat Islam UIAM yang bertanggungjawab mencipta poster dan melukis komik.

Dalam pada itu, Dr Ruzita berkata, ramai lagi pelajar autisme seperti Nur Arif yang mempunyai kemampuan untuk berjaya dalam pelbagai bidang namun kebanyakan daripada mereka telah dinafikan hak pendidikan.

Nur Arif (kiri) dan Dr Ruzita (kanan) ketika ditemui di DSU, UIAM.

“Tidak semestinya seseorang itu dilahirkan autisme, mereka tidak boleh mendapatkan hak pendidikan yang sama rata dengan pelajar normal yang lain.

“Apa yang paling penting ialah kesedaran masyarakat terhadap golongan OKU dan diharapkan lebih ramai lagi yang akan mengambil pendekatan untuk memahami golongan ini,” ujarnya.

Artikel berkaitan

Pelajar kerdil lanjutkan pengajian meskipun berstatus OKU, cabar diri untuk berdikari

“Tanpa mereka, mana mungkin saya dinobatkan sebagai penerima Guru Cemerlang Pendidikan Khas”- Cikgu Kumaresan

Pejuang kanser, Junita akhirnya berjaya genggam PhD


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok