Pejuang kanser, Junita akhirnya berjaya genggam PhD
Pejuang kanser, Junita akhirnya berjaya genggam PhD

Pejuang kanser, Junita akhirnya berjaya genggam PhD

Roshlawaty Md Raieh
20 Jun 2022 11:59am
A
A
A

Dunia terasa gelap seketika apabila doktor mengesahkan Junita Abd Rahman, 43, menghidap kanser payudara, baru-baru ini.

Ketika itu, tiada kata-kata dapat diluahkan dan dia hanya mampu menyerahkan segala-galanya kepada ALLAH SWT.

Junita yang merupakan graduan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berkata, dia positif kanser payu dara tahap dua pada tahun 2018 dan pernah menjalani tiga kali pembedahan.

“Doktor memaklumkan selepas pembedahan saya perlu menjalani enam sesi kimoterapi dan 20 sesi radioterapi serta perlu mengambil pil harmon selama lima tahun.

“Melihatkan rawatan yang harus dilakukan, jujur saya katakan yang diri tidak kuat. Namun, saya harus teruskan juga kehidupan demi insan-insan tersayang,” katanya.

Menyedari yang dirinya berdepan dengan penyakit yang boleh membawa maut, Junita merasakan yang dia perlu menjelaskan tentang keadaan dirinya kepada orang sekeliling terutama suami, keluarga dan penyelia PhD.

“Bagi saya, kunci untuk membuatkan urusan hidup menjadi mudah adalah dengan interaksi.

“Sentiasalah bercakap dengan ALLAH yang maha mengetahui dan banyakkan berbincang dengan orang yang rapat dengan kita,” ujar Junita yang tetap berusaha menyiapkan tesis walaupun kadang kala hanya mampu menulis satu muka surat sahaja.

Urus kedai dobi

Sebelum menyambung pengajian ke peringkat PhD, ibu kepada empat orang anak ini mengusahakan perniagaan dobi.

Berkat kesabarannya, perniagaan tersebut mendapat sambutan hangat malah ketika belajar di UTHM, Junita masih tetap menguruskan kedai dobi tersebut.

Walaupun terpaksa membahagikan masa antara tugas seorang isteri, ibu dan juga pelajar, Junita tetap seronok dengan keputusan yang dibuat.

“Melakukan kerja-kerja di kedai dobi menjadi terapi buat saya apatah lagi saya menghidap kanser.

“Bagi saya, penyakit ini bukanlah penamat kehidupan. Saya mahu orang luar tahu bahawa pejuang seperti saya mampu mencipta kejayaan jika ada kekuatan dan kata-kata semangat daripada semua orang.

“Dan kini, alhamdulillah genaplah 10 tahun saya menjalankan perniagaan dobi yang dulunya hanya menyewa setengah lot kedai tetapi sekarang sudah beroperasi satu lot kedai,” ujarnya gembira.

Bukan itu sahaja, bahkan setelah melalui pelbagai cabaran dan ujian daripada ALLAH, akhirnya Junita juga mampu menarik nafas lega apabila berjaya menamatkan pengajian di peringkat PhD.

Lebih menggembirakan lagi apabila dia turut diisytiharkan bebas daripada kanser payu dara setelah menjalani pelbagai prosedur rawatan.

Sinar Bestari mendoakan agar Junita kuat, sabar dan terus dikurniakan kesihatan yang baik serta dipermudahkan segala urusan di dunia dan di akhirat.

Artikel berkaitan

Tetap disayangi ramai walau berperangai pelik. Itulah istimewanya Cikgu Zul!

“Tanpa mereka, mana mungkin saya dinobatkan sebagai penerima Guru Cemerlang Pendidikan Khas”- Cikgu Kumaresan

Berjaya peroleh 9 A dalam SPM 2021 walaupun sakit tulang belakang


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok