A (1)
A (1)

Pelajar UTAR cipta inovasi kurangkan kontak fizikal antara pesakit dan doktor di musim Covid -19

Mohd Khairi Mohamad Yusri
23 Sep 2021 10:02am
A
A
A

Pelajar Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Lim Chu Chen membawa pulang wang tunai RM5,000 apabila dipilih sebagai pemenang tempat pertama Pertandingan Reka Bentuk Inovasi Malaysia 2021, baru-baru ini.

Chu Chen mempertaruhkan projek yang bertajuk "Pengembangan Peranti Pengenalan Objek yang Boleh Dipakai menggunakan Kecerdasan Buatan (AI) untuk Tujuan Rehabilitasi".

Menerusi projek yang dijalankan di bawah pengawasan Profesor Madya Dr Chee Pei Song dari Fakulti Sains dan Kejuruteraan Lee Kong Chian (LKC FES) ini, Chu Chen mencipta sarung tangan pintar yang dapat mengenali objek menggunakan algoritma pembelajaran mesin yang diselia.



Menurut Chu Chen, sarung tangan ini dapat mengesan tahap pergerakan sendi dan meramalkan objek yang dipegang pengguna dengan algoritma pembelajaran kendiri malah kekuatan cengkaman, pergerakan sendi dan kekuatan cubit pengguna juga dapat diukur menggunakan data yang dihasilkan oleh produk inovasi ini.

"Produk ini tidak memerlukan pakar untuk mengukur peningkatan seseorang. Ini bermaksud akan ada penurunan jumlah kunjungan ke pusat-pusat fisioterapi kerana latihan pemulihan dapat dilakukan di rumah dengan maklum balas segera daripada sarung tangan.

"Bagaimanapun, jika nasihat pakar diperlukan, data dapat dihantar daripada sarung tangan. Data itu kemudian dapat digunakan oleh ahli fisioterapi untuk mengukur prestasi jangka panjang pengguna," ujarnya lagi.

Tambah Chu Chen lagi, sarung tangan ini juga dapat memberikan tekanan yang tepat mengenai rutin senaman mana yang paling berkesan untuk pengguna tertentu.

Chu Chen berkata, projek ini diinspirasikan daripada arwah datuknya yang yang didiagnosis menderita demensia dan berada di ambang penyakit Parkinson.

“Penyakit neurologi yang mempengaruhi kemahiran motor seperti strok atau penyakit Parkinson mempengaruhi lebih daripada dua juta orang setiap tahun di Amerika Syarikat sahaja.
C
“Saya berharap penemuannya dapat membawa penyelesaian yang berpatutan dalam aspek pemulihan pesakit,” tuturnya.

Projek ini juga dijangka dapat menawarkan penyelesaian kepada pesakit fisioterapi dengan mengurangkan jumlah kunjungan mereka ke pusat-pusat rehabilitasi dan mengumpulkan data kemajuan yang dihantar ke rumah.

Penemuan ini juga berfungsi sebagai penyelesaian dalam tempoh pandemik Covid-19 kerana ia boleh mengurangkan kontak fizikal antara pesakit dan doktor malah pada masa yang sama, pesakit dapat meneruskan jadual rawatan mereka.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok