PEMULA@UKM
PEMULA@UKM

PEMULA@UKM buka peluang tubuh syarikat berdaya saing buat warga akademik dan pelajar

Adlan Farhan Azwan
11 Mar 2022 07:05pm
A
A
A

BANGI - Penubuhan PEMULA@UKM membuka peluang kepada warga akademik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan pelajar untuk menubuhkan syarikat pemula yang berdaya saing di Malaysia dan antarabangsa.

Majlis Pelancaran PEMULA@UKM, Geran Translasi UKM dan Perasmian Akademia Siber Teknopolis (AST) telah diadakan di Auditorium Akademia Siber Teknopolis, UKM, Bangi, pada hari ini.

Menurut Naib Canselor UKM, Profesor Datuk Ts Dr Mohd Ekhwan Toriman, program ini sejajar dengan dasar dan saranan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk melihat peningkatan kadar pengkomersialan hasil penyelidikan yang mampu menjana ekonomi negara dan melahirkan lebih banyak lagi syarikat pemula yang ditubuhkan oleh penyelidik dan pelajar yang mampu bersaing di pasaran yang lebih kompetitif.

Baca juga

UMT, IMEC meterai MoU

USIM, Yayasan KRU jalin kerjasama dalam industri kreatif

“Walaupun negara masih bergelut dengan pelbagai cabaran pandemik Covid-19, segala perancangan yang telah disusun atur oleh jawatankuasa penubuhan syarikat universiti yang dipengerusikan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) telah berjaya melaksanakan pelbagai program.

“Menerusi program ini, UKM menjangkakan kerjasama yang strategik antara wakil dan warga akademik serta pelajar yang mampu menubuhkan sebuah syarikat pemula yang berdaya saing di Malaysia dan antarabangsa,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran PEMULA@UKM.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar.

Sempena majlis itu, Pusat IDEA dan Kluster Penyelidikan UKM juga telah melancarkan Geran Translasi UKM yang menjadi pemangkin kepada para penyelidik UKM untuk menggerakkan penyelidikan translasi sekali gus berkeupayaan menterjemahkan hasil yang berimpak tinggi.

Dalam pada itu, Abdul Razak berkata, Pelan Tindakan Keusahawanan (PTK) Institusi Pengajian Tinggi (PTKIPT) 2021-2025 kini berada dalam fasa pelaksanaan sejajar dengan usaha kementerian untuk melonjakkan agenda keusahawanan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

"Sehubungan itu, universiti menggalas tanggungjawab besar untuk memastikan graduan yang dihasilkan berkemahiran tinggi dan kompetitif dalam bidang akademik serta mempunyai nilai tambah ilmu keusahawanan yang tinggi.

"Saya juga berharap Geran Translasi UKM ini dapat dilestarikan oleh ekosistem pendidikan tinggi yang berkualiti bagi memenuhi aspirasi negara," ujarnya.

Sementara itu, Akademia Siber Teknopolis turut dirasmikan pada majlis yang sama.

Bangunan ini direka dan dibina berdasarkan konsep ‘industrial look’ dengan memenuhi spesifikasi yang telah ditetapkan dan keperluan penyelidikan yang akan dijalankan oleh pihak Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) serta Institut IR4.0.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok