“Pendidikan STEM perlu dimulakan di peringkat awal lagi” - Dr Murnizam
“Pendidikan STEM perlu dimulakan di peringkat awal lagi” - Dr Murnizam

Pendidikan STEM perlu dimulakan di peringkat awal lagi - Dr Murnizam

Roshlawaty Md Raieh
13 Sep 2022 05:44pm
A
A
A

Persatuan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Kebangsaan, Kelab Pendidikan Kanak-kanak dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkolaborasi menganjurkan Pertandingan Bercerita STEM Prasekolah dan Sekolah Rendah Peringkat Kebangsaan, baru-baru ini.

Program tersebut bertujuan meningkatkan perkembangan pemikiran kritis dan menerapkan sifat ingin tahu dalam diri mengenai definisi STEM tanpa mengira peringkat umur, di samping mendedahkan isu-isu semasa berkaitan dengan STEM.

Dekan Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) UMS, Profesor Dr Murnizam Halik berkata, program tersebut mampu memberikan impak yang positif kerana mempertunjangkan pengintegrasian empat bidang utama iaitu Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik.

“Dalam konteks negara kita, pendidikan STEM ini adalah salah satu daripada agenda yang diberi penekanan dalam pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

“Oleh itu, bagi mencapai agenda STEM, terdapat beberapa dasar yang telah digubal seperti Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN),” ujarnya.

Tambah beliau, STEM turut memainkan peranan penting dalam pendidikan sekarang dan ia perlu didedahkan kepada murid khususnya pada peringkat pendidikan awal kanak-kanak lagi.

“Hal ini kerana pembelajaran berteraskan STEM dapat melatih perkembangan psikologi dan intelektual kanak-kanak terutama sekali dalam kemahiran menyelesaikan masalah.

“Program webinar dan pertandingan yang dianjurkan ini telah membuktikan bahawa kita telah berada di landasan yang tepat, lebih-lebih lagi dalam membantu anak-anak kecil untuk menanam minat mereka dalam bidang STEM yang semakin mendapat tempat pada masa ini,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan STEM Kebangsaan, Profesor Datuk Dr Noraini Idris menjelaskan, program tersebut telah memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan bercerita dalam kalangan kanak-kanak.

Ujarnya, pertandingan itu telah dijalankan secara dalam talian dan terbuka kepada peserta khususnya kanak-kanak daripada peringkat prasekolah sehingga sekolah rendah.

“Pertandingan ini dijalankan lebih tiga bulan dan disertai seramai 122 kanak-kanak prasekolah dan sekolah rendah seluruh negara.

“Justeru, saya berharap agar program sebegini dapat memberi manfaat dan meningkatkan pengetahuan STEM dalam kalangan kanak-kanak,” jelas Dr Noraini.

Artikel berkaitan 

Kejayaan di peringkat antarabangsa, bukti kecemerlangan Sekolah Seri Puteri dalam bidang STEM

Raih kejayaan dalam bidang STEM, bukti kemenjadian murid SKC Anglo Chinese

Tarik minat golongan muda ke arah STEM dengan Galeri Robotik Cybernetics


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok