HomeIPTPenghidap autisme penerima Anugerah Pingat Emas USM

Penghidap autisme penerima Anugerah Pingat Emas USM

Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Itulah perumpamaan yang sesuai untuk menggambarkan kejayaan pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (TESOL), Ooi Ivan, 24, apabila diumumkan penerima Anugerah Pingat Emas Universiti Sains Malaysia (USM) pada Konvokesyen ke-60 universiti itu yang akan berlangsung dari 3 sehingga 14 Disember ini.

Apa yang menarik mengenai anak kelahiran Perai, Pulau Pinang, ialah dia merupakan penghidap autisme kategori hiperaktif sejak berusia setahun enam bulan.

Bagaimanapun peyakit tersebut bukan penghalang bagi Ivan untuk terus belajar sehingga berjaya menamatkan pengajiannya.

Bercerita lebih lanjut mengenai keadaannya, Ivan memberitahu, dia berhadapan masalah sukar menumpukan perhatian dalam tempoh yang lama ketika sedang mengikuti kelas.

Namun, dia dapat mengatasi masalah tersebut dan kini mampu mengikuti setiap kelas selama satu jam dengan bantuan pensyarah yang prihatin dan memberi tumpuan kepada keperluan pengajiannya.

Ivan (kana) menunjukkan Anugerah Pingat Emas yang diterimanya.

Selain itu, sepanjang empat tahun pengajian, dia juga sering berasa gelisah tetapi berjaya mengatasi keadaan tersebut.

Menurut anak sulung daripada dua beradik itu, persekitaran USM yang mesra Orang Kurang Upaya (OKU) juga banyak membantunya ketika berdepan masalah menumpukan pembelajaran.

“Meskipun banyak cabaran yang terpaksa saya hadapi, saya mampu mengikuti setiap kelas selama empat tahun dan memperolehi purata nilai gred kumulatif (CGPA) 3.72.

“Semasa peperiksaan, saya akan meminta jasa baik USM untuk meletakkan saya di bilik berasingan supaya saya dapat menumpukan perhatian sepenuhnya,” katanya dalam sidang media sempena Konvokesyen ke-60 USM di Dewan Tuanku Syed Putra USM, baru-baru ini.

Ivan yang bercita-cita menjadi seorang guru turut memberitahu dia terhutang budi kepada kakitangan USM yang berdedikasi dan banyak membantunya sepanjang bergelar pelajar di universiti itu.

Dalam pada itu, seorang lagi graduan cemerlang yang memperoleh Hadiah Pingat Emas Canselor, Arief Ferdaus Azmi, 22, menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada kedua ibu bapanya yang menjadi tulang belakang sepanjang tempoh pengajiannya sehingga berjaya dinobatkan sebagai antara graduan cemerlang USM.

Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, jurusan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris yang dipelajarinya itu telah dipilih oleh ibunya, Norliza Abdul Rahman.

“Jika ikutkan minat, saya lebih berminat dengan sains politik namun apabila ibu mencadangkan agar saya mengambil jurusan Bahasa Inggeris, saya turutkan saja.

“Alhamdulilah saya bersyukur kerana mengikut pilihan ibu dan tidak menghadapi sebarang masalah ketika melanjutkan pelajaran dalam bidang bahasa Inggeris untuk profesional dan berkemungkinan selepas ini saya akan sambung ke peringkat sarjana di universiti luar negara,” jelasnya.

Selain Ivan dan Arief, Muhammad Nasri Nasehir Khan, 23, turut diumumkan penerima Anugerah Pelajaran Diraja Oleh Majlis Raja-Raja Malaysia bagi pelajar terbaik kategori bumiputera dan Siek Jia Wen, 24 untuk pelajar terbaik kategori bukan bumiputera.

Bagi Anugerah Pingat Emas Naib Canselor untuk pemimpin pelajar cemerlang pula, ia dianugerahkan kepada Farah Zahidah Abdul Halim, 22.

Artikel berkaitan

Penerima Anugerah Pingat Emas Canselor USM tetap kuat walaupun diuji dengan pemergian bapa ketika hadapi peperiksaan

Berkat doa mak ayah, kembar seiras UTM ini bakal jurutera di Singapura

Suka duka kehidupan 3 graduan OKU yang ramai tidak tahu


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok