Gambar 3
Gambar 3

PKLM UMS, Yayasan Sabah cipta kerjasama dalam usaha konservasi pemuliharaan Hutan Lembah Danum

Adlan Farhan Azwan
02 Mar 2022 04:19pm
A
A
A

KOTA KINABALU - Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Pusat Kelestarian Libatsama Masyarakat (PKLM) mengeratkan lagi kerjasama bidang pemuliharaan hutan dengan Yayasan Sabah menerusi penganjuran Program Bersama Komuniti Konservasi Lembah Danum, baru-baru ini.

Sehubungan itu, UMS yang diketuai Naib Canselor, Profesor Datuk ChM Ts Dr Taufiq Yap Yun manakala Yayasan Sabah diwakili oleh Pengurus Kumpulan, Bahagian Konservasi dan Pengurusan Alam Sekitar Yayasan Sabah, Dr Waidi Sinun mengadakan kunjungan ke Lembah Danum.

Baca juga

UniMAP dan Nihon Superior meterai MoA, teroka projek penyelidikan bahan penyambungan elektronik

UiTM dan KRS meterai MoU, tingkatkan pembangunan sukan ragbi

Taufiq ketika berucap pada sesi perjumpaan bersama warga komuniti konservasi Lembah Danum berkata, kesempatan kolaboratif menerusi program tersebut membolehkan ahli-ahli akademik dari UMS meningkatkan lagi kepakaran yang ada berkaitan konservasi hutan menerusi lawatan dan pertemuan bersama pelbagai pihak.

Taufiq bersama rombongan UMS dan Yayasan Sabah mendaki Bukit Danum bagi melihat pokok hutan tropika tertinggi di dunia.

“Ini sekali gus menyumbang terus kepada usaha pihak Yayasan Sabah dalam memelihara dan memulihara kawasan konservasi.

“Pihak UMS juga akan turut meninjau potensi pemindahan ilmu yang sama di dua kawasan konservasi Yayasan Sabah iaitu di Imbak Kanyon dan Lembangan Maliau,” katanya.

Menurutnya lagi, beberapa projek pemindahan ilmu berasaskan komuniti turut dicadangkan di kawasan tersebut seperti projek hidroponik, baja kompos, kemahiran berkomunikasi dan pembangunan teknologi maklumat.

“Projek pemindahan ilmu ini bakal meningkatkan lagi usaha komuniti untuk meningkatkan pengurusan kawasan konservasi Lembah Danum yang kian menjadi tumpuan para penyelidik, pelawat dan pelancong dari seluruh dunia.

“Oleh itu, UMS amat menghargai sambutan dan sokongan yang diberikan oleh pihak Yayasan Sabah khususnya pihak Komuniti Konservasi Lembah Danum terhadap program yang dirangka oleh PKLM,” kata Taufiq.

Dalam pada itu, Pengarah PKLM, Dr Jakaria Dasan selaku Ketua Zon University for Society (U4S) Zon Borneo, dalam taklimat kepada komuniti menjelaskan bahawa program ini adalah salah satu usaha pemindahan ilmu bagi kesejahteraan hidup komuniti terutama mereka di kawasan terpencil pedalaman negeri Sabah.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

“Menerusi aktiviti yang diadakan UMS dan Yayasan Sabah ini, peserta rombongan berkesempatan melihat keindahan flora dan fauna di habitat asal dan tanpa sedar jarak untuk sampai ke Lembah Danum ini tidak dirasakan.

“Kepakaran yang diperlukan oleh komuniti akan segera dibincangkan di peringkat UMS untuk segera dilaksanakan dalam masa terdekat,” ujar Jakaria.

Antara pengisian program yang berlangsung selama empat hari itu adalah bird watching, taklimat mengenai Kawasan Konservasi Lembah Danum, sesi perbincangan aktiviti Pemindahan Ilmu di Lembah Danum, dan taklimat universiti untuk masyarakat bersama komuniti oleh PKLM.

Ia diikuti sesi lawatan ke Tapak Semaian dan Makmal Bio-Prospek Penyelidikan dan Pembangunan Kulat, Halia Liar, Tumbuh-tumbuhan ubatan dan Aromatik (TUB) serta aktiviti mendaki Bukit Danum bagi melihat pokok hutan tropika tertinggi di dunia iaitu pokok Seraya Kuning Siput dengan ketinggian 100.8 meter.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok