Politeknik Melaka salur bantuan untuk mangsa banjir di 2 negeri
TEMERLOH – Politeknik Melaka (PMK) dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) Negeri Melaka dan orang persendirian, mengambil inisiatif menyalurkan bantuan kemanusiaan serta sumbangan kepada mangsa banjir di Negeri Sembilan dan Pahang, baru-baru ini.
Antara NGO yang terlibat ialah Abu Hubayb Official, Persatuan Melayu Champa, Masjid Al Wahab Permatang Duyong, Masjid Airport Batu Berendam dan My Concern.
Ketua Projek Misi Bantuan Banjir, Mohd Najib Khasim berkata, misi bantuan bermula di Kuala Klawang, Jelebu, membabitkan seramai 24 sukarelawan yang dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu kumpulan pembersihan dan kumpulan menyampaikan bantuan sumbangan berbentuk barangan keperluan seperti makanan, selimut, bantal dan toto hasil sumbangan orang ramai.
Tambahnya, meskipun dalam keadaan letih, wajah para penduduk tetap tersenyum menyambut kehadiran sukarelawan yang hadir untuk menghantar bantuan bagi kegunaan mereka.
“Ada antara mereka belum dikunjungi mana-mana NGO bagi menghulurkan bantuan. Sekurang-kurangnya dengan selimut, bantal dan toto yang baharu dan bersih hasil sumbangan orang ramai, ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang mereka hadapi.
“Misi bantuan ini tidak akan terhenti di sini malah akan ada siri kedua yang akan menyusul selepas ini,” tuturnya lanjut.
Baca juga 5 sikap menjadikan anda seorang pemain badminton yang hebat
Baca juga Pelajar asnaf dan B40 terima sumbangan kebajikan lebih RM10 juta daripada UMK
Tambah beliau, sukarelawan seterusnya bergerak ke Bentong, Pahang, untuk menghantar bantuan ke Taman Harmoni dan Kampung Chegar Medang.
“Banjir yang melanda telah memberi impak kerosakan besar kepada Kampung Chegar Medang kerana kedudukan geografi kampung berkenaan yang terletak berhampiran Sungai Bentong.
“Misi bantuan di Pahang turut melibatkan beberapa kawasan lain seperti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bentong; Kampung Megat Segama, Temerloh dan Kampung Batu Kapur serta Taman Mutiara Semantan, Mentakab,” ujarnya.
Ikuti juga kami di:
Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/
Twitter: https://twitter.com/GPSBestari
Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/
SMK Bentong menjadi antara sekolah yang paling teruk terkesan dalam kejadian banjir di Pahang kali ini.
Menurut salah seorang guru SMK Bentong, Muhammad Hafizal Ramli, sekolah itu menerima impak dari dua punca air yang besar iaitu kepala air dari Janda Baik dan Empangan Chamang sekali gus menghasilkan pusaran yang dahsyat dan mengakibatkan sekolah ditenggelami air setinggi bumbung bangunan dua tingkat.
“Kesemua peralatan yang bukan besi telah mengalami kerosakan sepenuhnya. Misi bantuan dari PMK ini sangat membantu dalam kerja-kerja pembersihan di kawasan sekolah,” kongsinya.