gambar hiasan menu rm3.50 uitm
gambar hiasan menu rm3.50 uitm

Program Bakul Makanan Siswa Keluarga Malaysia, tawar menu berkualiti harga serendah RM3.50

Rasyidah Zulkifi
08 Aug 2022 05:06pm
A
A
A

Bagi meringankan beban kos sara hidup yang ditanggung oleh penuntut institusi pengajian tinggi (IPT), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menawarkan menu makanan berkualiti kepada mereka dengan harga siling RM3.50.

Berita baik yang diumumkan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad baru-baru ini sememangnya menggembirakan hati mahasiswa kerana mereka tidak perlu bimbang mengenai kos makanan.

Menerusi inisiatif Bakul Makanan Siswa Keluarga Malaysia yang diperkenalkan, mahasiswa terutamanya daripada golongan B40 dapat membeli set makanan bernutrisi tanpa perlu mengeluarkan duit yang banyak.

Bakul Makanan Siswa Keluarga Malaysia, Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Bukan mereka sahaja, mahasiswa lain juga tertakluk di bawah program yang sama tanpa sebarang pengecualian.

Dengan harga RM3.50, mereka akan memperoleh sumber karbohidrat, protein, sayur dan buah-buahan dalam setiap hidangan.

Menu lengkap seperti itu pasti mengenyangkan kerana memenuhi keperluan zat dalam badan.

Selain itu, program Bakul Makanan Siswa Keluarga Malaysia juga sejajar dengan inisiatif Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang memperkenalkan pinggan sihat.

Pinggan sihat Malaysia

Pinggan sihat Malaysia bertujuan mendidik masyarakat dengan memberikan gambaran makanan yang mudah perlu diambil oleh mereka dalam hidangan sehari-hari.

Ia juga bagi menggalakkan orang dewasa untuk mengamalkan tabiat pemakanan seimbang dengan menekankan elemen suku-suku separuh.

Suku-suku separuh adalah kuantiti makanan yang diletakkan di dalam ‘pinggan sihat’ iaitu suku karbohidrat, suku protein dan separuh sayur bersama buah.

Apabila teknik pemakanan tersebut diamalkan oleh golongan mahasiswa menerusi program anjuran KPT berkenaan, maka ia amat berkesan untuk pengurusan berat badan ideal.

Ini kerana teknik suku-suku separuh menerusi pinggan sihat itu membantu mahasiswa mengawal pengambilan kalori makanan.

Kalori yang berlebihan untuk badan seseorang yang terkumpul sehingga 7,700 akan menyumbang penambahan berat badan sebanyak satu kilogram.

Justeru, inisiatif Bakul Makanan Siswa Keluarga Malaysia sedikit sebanyak membantu mengurangkan kadar masalah kesihatan yang menular dalam kalangan penuntut IPT hari ini.

Antaranya, pencegahan penyakit kronik berkaitan obesiti seperti penyakit kardiovaskular, diabetes dan tekanan darah tinggi.

Apabila terhindar daripada penyakit-penyakit berbahaya tersebut, maka mahasiswa dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap pengajian.

Ia membantu meningkatkan pencapaian universiti itu sendiri dari masa ke masa kerana menu ditawarkan kepada mahasiswa adalah sihat, sekali gus mampu membina otak yang cerdas.

Antara IPT awam setakat ini yang sedang melaksanakan Bakul Makanan Siswa Keluarga Malaysia ialah Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Sehubungan itu, untuk minggu ini Sinar Bestari senaraikan menu-menu yang disediakan oleh pemilik kafe semua universiti berkenaan untuk informasi kepada pembaca.

**

Senarai IPT yang menawarkan Bakul Makanan Siswa Keluarga Malaysia

dan menu-menu yang disediakan:

1. Universiti Teknologi MARA (UiTM)

  • Nasi lemak, mi goreng, mihun goreng, kuih-muih, roti telur dan sandwic
  • Nasi putih, telur dan sayur
  • Nasi putih, lauk ayam atau ikan bersama sayur
  • Nasi putih, udang, kerang dan daging

2. Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)

  • Nasi putih dan ayam goreng rangup
  • Nasi putih, ayam goreng dan sayur campur
  • Mi goreng
  • Nasi putih, ayam masak merah dan telur
  • Nasi putih dan ayam masak kicap
  • Nasi goreng biasa
  • Nasi goreng kampung
  • Nasi putih, ayam goreng kunyit dan kuah tomyam
  • Roti telur goyang
  • Roti telur keju
  • Roti telur hancur dan kacang panggang

3. Universiti Putra Malaysia (UPM)

  • Nasi lemak, telur, sosej, sambal merah, kacang dan ikan bilis
  • Nasi putih, daging masak kicap dan tumis kubis
  • Nasi putih, telur goreng, sambal tempe dan sayur goreng
  • Nasi putih, sambal telur rebus dan tempe goreng
  • Nasi putih, daging tetel dan sayur
  • Nasi putih, telur dadar dan kubis goreng
  • Nasi putih, telur berlada dan telur sarang

4. Universiti Sains Malaysia (USM)

  • Nasi putih, sayur goreng, telur goreng, sambal kentang
  • Nasi putih, sayur goreng, telur goreng, sambal terung
  • Nasi goreng dan telur goreng

5. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

  • Nasi putih, menu ayam atau ikan dan sayur
  • Nasi putih, menu ayam atau ikan dan kuah
  • Nasi goreng dan telur goreng

6. Universiti Malaya (UM)

  • Nasi putih, telur dadar dan sayur atau ulam-ulaman

Artikel berkaitan 

Inisiatif Menu Keluarga Malaysia RM3.50 bakal beri manfaat 14,000 golongan B40 mahasiswa UPSI

UMK perkenal Menu Food Basket Siswa Keluarga Malaysia berharga RM3.50

Pelajar UMS bakal nikmati menu makanan berkualiti serendah RM3.50


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok