1837102
1837102

Pelajar UMS bakal nikmati menu makanan berkualiti serendah RM3.50

Adlan Farhan Azwan
15 Jul 2022 03:51pm
A
A
A

Para pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) bakal menikmati menu makanan berkualiti di kafeteria kolej kediaman masing-masing dengan harga serendah RM3.50 bermula hari ini.

Menurut Timbalan Naib Canselornya (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Dr Raman Noordin, pihaknya menyambut baik saranan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) agar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) menjual makanan di dalam kampus dengan setiap hidangan pada harga siling RM3.50 menerusi inisiatif Food Basket Siswa Keluarga Malaysia.

“Selaras dengan saranan tersebut, pihak pengurusan UMS telah mengadakan perbincangan dengan para pengusaha kafeteria di kolej kediaman milik UMS dan telah mendapat persetujuan setiap pengusaha menyediakan menu makanan dengan harga siling serendah RM3.50.

“Walaupun dengan harga yang lebih murah, pihak UMS tidak akan berkompromi berkenaan isu penyediaan menu makanan yang berkualiti dan akan memastikan setiap pelajar menikmati hidangan makanan yang lengkap dan bernutrisi,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau percaya usaha pengurusan universiti ini membantu pelajar berdepan dengan cabaran peningkatan kos sara hidup.

“Usaha ini diharap dapat membantu mengurangkan beban kewangan pelajar UMS secara keseluruhan terutama pelajar dalam kelompok golongan berpendapatan rendah (B40),” ujarnya

Bagi membantu pengusaha kafeteria menangani isu kenaikan harga barangan yang turut memberi kesan kepada harga makanan semasa, moratorium bayaran sewa selama enam bulan juga kepada mereka mulai bulan ini.

Langkah tersebut dijangka membolehkan tanggungan kos sewa diserap bagi menurunkan harga makanan yang dijual kepada pelajar memandangkan peningkatan harga barangan turut memberi kesan kepada harga makanan di dalam kampus.

Dalam pada itu, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk ChM Ts Dr Taufiq Yap Yun Hin memberi jaminan di bawah inisiatif #UMSPeduli, universiti akan meneruskan serta memperkasakan pelaksanaan program Food Bank Siswa UMS yang telah diperkenalkan sejak 2019.

Beliau berkata, inisiatif Food Bank Siswa ini tidak terhad kepada pelajar dalam kampus sahaja, malah UMS juga ambil peduli terhadap beban ditanggung oleh pelajar yang tinggal di luar kampus.

“Oleh itu, Pusat Non Residen dan Fasiliti Perumahan Pelajar (PNRF) juga telah mewujudkan Food Bank untuk pelajar Non Residen berdekatan dengan pejabat PNRF di Anjung Siswa, UMS,” jelas beliau.

Taufiq turut berharap orang ramai khususnya syarikat-syarikat korporat dan agensi-agensi luar untuk bersama-sama menyokong dan mengembangkan program Food Bank ini agar dapat memanfaatkan pelajar khususnya yang kurang berkemampuan dan memerlukan bantuan keperluan makanan dan minuman seharian.

Artikel berkaitan

UKM perkenal Menu Siswa Keluarga Malaysia, sokong inisiatif dilaksanakan KPT

Inisiatif WEZAS UPSI salur bantuan RM1.2 juta kepada pelajar B40

Menu makanan dengan harga siling RM3.50 untuk pelajar IPT, KPT bantu tangani peningkatan kos sara hidup


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok