Program empowerNCER Akademik fasa tiga manfaat 600 calon SPM di 3 daerah Pulau Pinang
Seramai 600 pelajar Tingkatan 5 dalam kalangan B40 terlibat dalam Program empowerNCER Akademik fasa tiga di Pulau Pinang.
Program ini direka khusus untuk meningkatkan pencapaian para pelajar dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan ia merangkumi dari tiga buah daerah iaitu Seberang Perai Selatan, Timur Laut dan Barat Daya.
“Secara keseluruhan, terdapat 15 buah sekolah terpilih untuk menyertai program berkenaan yang memberi penekanan berhubung komponen kecemerlangan akademik, kemahiran dan perkembangan sahsiah para pelajar.
“Melalui program itu, para pelajar diberikan bimbingan secara konsisten dengan penekanan kepada pemulihan dan pengayaan bersesuaian sukatan pelajaran sekali gus mensasarkan kecemerlangan peperiksaan SPM 2022,” menurut kenyataan media yang dikeluaran baru-baru ini.
Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan Yayasan PETRONAS telah memberi mandat kepada Universiti Sains Malaysia (USM) serta USAINS Holding Sdn Bhd dalam melaksanakan program terbabit bermula Mac lalu sehingga Oktober tahun hadapan.
Selain itu, program tersebut turut melibatkan para guru dan ibu bapa pelajar-pelajar dalam memastikan kecemerlangan calon-calon SPM.
“Para guru diberi pendedahan dan perkongsian berkenaan kaedah Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK21) melibatkan tiga aspek utama iaitu Kapasiti Guru, Learning Loss dan Kesihatan Mental.
“Ibu bapa pula didedahkan dengan kaedah, teknik dan sistem sokongan di rumah berupaya membantu anak mereka dalam persediaan menghadapi peperiksaan SPM,” ujarnya.
Melalui program Fasa Kedua SPM 2021, kenyataan itu menjelaskan, ia menyaksikan sebanyak 98 peratus peserta layak menerima sijil SPM 2021 dan Gred Purata Murid mencatat peningkatan 58 peratus.
Selain itu, katanya, pihak USM turut membantu para pelajar dengan melaksanakan beberapa siri Bengkel Hala Tuju Kerjaya dalam membimbing pemilihan hala tuju pengajian mereka.
Program empowerNCER Akademik mendapat sokongan Kementerian Pendidikan (KPM) berjaya membantu para pelajar dalam kalangan B40 mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM melalui libat sama strategik dari Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Pejabat Pendidikan Daerah serta pengurusan sekolah terlibat.
Artikel berkaitan
3 pelajar USM lakar kejayaan dalam pertandingan ICT
Program empowerNCER-Akademik bantu tingkatkan kecemerlangan pelajar SPM 2021
INNO4C USM bantu penternak B40 di Sarawak tingkatkan pasaran madu kelulut