HomeIPTBuletin IPTINNO4C USM bantu penternak B40 di Sarawak tingkatkan pasaran madu kelulut

Artikel Berkaitan

INNO4C USM bantu penternak B40 di Sarawak tingkatkan pasaran madu kelulut

Sejak kebelakangan ini, rata-rata penternak lebah kelulut di Sarawak yang terdiri daripada golongan B40 meluahkan kebimbangan mereka apabila mendakwa peratus jualan madu semakin merosot akibat kurang permintaan dan sukar untuk dipasarkan.

Penternak dari Kampung Pusa, Betong, Saiedon Baharon berkata, lambakan penternak lebah kelulut yang semakin meningkat dan dijangka bertambah turut menyebabkan pasaran madunya tidak lagi sehebat dulu.

“Permintaan terhadap madu kelulut sebelum ini adalah sangat tinggi seiring pengeluaran tetapi lambakan ternakan yang terjadi menyebabkan harganya mulai menurun dari semasa ke semasa.

“Masalah sebegini, sememangnya telah sedikit sebanyak menjejaskan perkembangan kegiatan penternakan lebah kelulut serta pemasaran madu berkenaan di kawasan ini,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Oleh itu, Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama agensi kerajaan, akademia, industri dan penternak telah berjaya untuk mengatasi masalah ini menerusi inisiatif yang diberi nama Innovation for Community (INNO4C).

Melalui inisiatif ini, pasaran madu kelulut lebih terjamin dan sosioekonomi penternak B40 juga dapat ditingkatkan.

Sementara itu, menurut penternak lebah kelulut yang turut mengalami masalah yang sama, Ramli Lit, inisiatif ini membantu para penternak meyakinkan pelanggan berpotensi dengan memastikan tahap kebersihan dan jangka hayat madu kelulut lebih terjamin.

“Bukan itu saja, USM turut membuka ruang dan peluang kepada kami untuk memasarkan madu kelulut secara meluas di dalam dan luar negara dengan harga yang berpatutan,” jelasnya.

INNO4C adalah salah satu inisiatif USM dalam membantu kumpulan B40 menambah pendapatan, meningkatkan taraf hidup dan mewujudkan peluang pekerjaan.

Inisiatif ini diberi mandat penuh oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) di bawah Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera (DPUB) Sarawak 2019.

Sumber: Bahagian Jaringan Industri & Masyarakat (BJIM), USM

Artikel berkaitan

Pensyarah hasilkan inovasi aiskrim misai kucing rendah kalori

8 makanan sunah yang perlu diamalkan

UMT terima HPLC, tawar perkhidmatan uji ketulenan madu


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Terkini