HomeIPTBuletin IPTProgram komuniti pupuk minat Sains, Matematik anak-anak Orang Asli suku Semai SKPGB

Program komuniti pupuk minat Sains, Matematik anak-anak Orang Asli suku Semai SKPGB

Sains dan Matematik merupakan antara mata pelajaran yang rumit sekiranya para pelajar tidak dapat menguasai subjek berkenaan dengan baik.

Bahkan, senario tersebut boleh membuatkan hilang minat dalam kalangan para pelajar sehingga merugikan mereka pada masa depan.

Bagi memupuk minat dalam kalangan para pelajar, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama Gading Kencana telah mengadakan program komuniti di Sekolah Kebangsaan Pos Gedong Bidor (SKPGB), Perak baru-baru ini.

Menariknya tentang program selama empat jam itu, ia menggunakan pendekatan menyeronokkan dalam memberi pendedahan bidang Sains dan Matematik kepada para peserta.

Seramai 87 pelajar Orang Asli suku Semai menyertai program komuniti tersebut yang dikendalikan Ketua Jabatan Fizik dan Kimia, Dr Afishah Alias dengan bantuan dua pensyarah FAST, Profesor Madya Chm Dr Hatijah Basri, Profesor Madya Dr Rosmila Abdul Kahar dan empat pelajar fakulti terbabit.

Afishah berkata, program berkenaan menggunakan pendekatan seperti aktiviti merangka model kapal terbang bagi menguji kreativiti peserta sekali gus dapat menarik perhatian mereka.

Beliau menambah, terdapat juga eksperimen Sains dan pengenalan Matematik dari peringkat asas sehingga sederhana menggunakan model serta kertas latihan agar mereka lebih meminati subjek berkenaan.

“Selain aktiviti tersebut, kami turut mengambil kesempatan menyelami kehidupan para pelajar bersama keluarga mereka dalam mengejar ilmu di kawasan berkenaan.

“Pendekatan berkenaan merungkai pahit getir perlu dilalui para pelajar untuk menimba ilmu apabila terpaksa meredah hutan, bukit-bukau dan sungai untuk sampai ke sekolah,” katanya dalam kenyataan media baru-baru ini.

Beliau berharap program komuniti itu dapat menyuntik semangat para pelajar untuk terus menuntut ilmu sehingga menara gading sekali gus mengubah nasib keluarga mereka.

Artikel berkaitan

Muhammad Faris dan Chun An, graduan cemerlang UTHM terima Anugerah Pelajaran DiRaja

Calon Fakulti Sains dan Matematik kuasai kerusi umum pemilihan MPP UPSI 2021/2022

Stadium UTHM terima pengiktirafan antarabangsa


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok