
Penggunaan gajet tanpa had membentuk generasi lemah sosial
Kemajuan teknologi digital pada era moden sememangnya tidak dapat dinafikan membawa pelbagai manfaat kepada manusia. Kehidupan menjadi lebih mudah dengan kemudahan komunikasi yang pantas, capaian maklumat tanpa sempadan dan hiburan tanpa henti di hujung jari.
Namun begitu, di sebalik manfaat ini, tersembunyi satu ancaman yang semakin meresap ke dalam kehidupan generasi muda, iaitu ketagihan terhadap gajet.
Remaja kini merupakan antara kelompok yang paling terdedah kepada penggunaan gajet secara berlebihan. Ketagihan terhadap telefon pintar dan peranti elektronik lain semakin menjadi-jadi sehingga menyebabkan perubahan dalam corak kehidupan mereka.
Penggunaan gajet secara berterusan, tanpa had masa dan kawalan, bukan sahaja mengganggu rutin harian, malah memberi kesan negatif terhadap kesihatan mental, emosi, fizikal serta interaksi sosial.
Antara kesan paling ketara ialah gangguan tidur. Kajian yang dijalankan oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) menunjukkan hampir 80 peratus remaja tidur dengan telefon pintar di sisi dan masih menghantar mesej walaupun sudah berada di atas katil.
Cahaya biru daripada skrin peranti mengganggu kitaran tidur semula jadi, menyebabkan kesukaran untuk mendapatkan tidur yang berkualiti. Akibatnya, remaja menjadi letih, mudah marah, kurang fokus dalam pembelajaran, serta berisiko mengalami masalah kesihatan seperti obesiti, tekanan darah tinggi, diabetes dan kemurungan.
Selain itu, fenomena kemurungan media sosial juga semakin menular. Ramai remaja terlalu terpengaruh dengan gaya hidup rakan-rakan atau selebriti di media sosial yang kelihatan sempurna. Perbandingan yang tidak realistik ini menimbulkan rasa tidak puas hati terhadap kehidupan sendiri.
Akhirnya, mereka hilang keyakinan diri, berasa rendah diri, dan terperangkap dalam kitaran keresahan serta kemurungan. Kajian menunjukkan bahawa penggunaan media sosial yang berlebihan boleh mengurangkan kepuasan hidup dan menjejaskan kestabilan emosi remaja.
Satu lagi isu yang membimbangkan ialah obsesi terhadap swafoto yang membawa kepada gejala narsisisme. Kajian mendapati bahawa 91 peratus remaja gemar memuat naik gambar swafoto ke media sosial.
Walaupun ada yang merasakan ia dapat meningkatkan keyakinan diri, namun tidak kurang juga yang berasa tertekan jika gambar yang dimuat naik tidak mendapat sambutan.
Dorongan untuk kelihatan sempurna dan menonjolkan imej terbaik sering menyebabkan mereka menyembunyikan kekurangan diri dan terlalu mementingkan pandangan orang lain.
Kesan penggunaan gajet secara berlebihan juga melibatkan kemampuan komunikasi dan tumpuan. Remaja yang terlalu bergantung kepada komunikasi dalam talian kurang terdedah kepada interaksi bersemuka dan kemahiran memahami emosi melalui bahasa tubuh. Mereka cenderung lebih suka komunikasi pantas dan tidak sabar dengan proses perbualan yang lebih mendalam.
Kajian mendapati bahawa pelajar kini hanya mampu memberi tumpuan terhadap tugasan selama dua minit sebelum terganggu oleh notifikasi atau keinginan untuk menyemak gajet mereka.
Daripada sudut pandang Islam, penggunaan teknologi yang melampau dan tidak berfaedah dianggap sebagai satu bentuk pembaziran masa yang dilarang. Allah SWT menyebut dalam Surah al-Mukminun bahawa antara ciri-ciri orang beriman ialah mereka yang menjauhi perkara sia-sia.
Rasulullah SAW juga pernah bersabda bahawa antara tanda baiknya Islam seseorang itu ialah meninggalkan perkara yang tidak memberi manfaat. Ketagihan gajet jika tidak dibendung bukan sahaja merosakkan masa muda, tetapi juga boleh membawa kepada kebinasaan sebagaimana yang diingatkan dalam Surah al-Baqarah.
Justeru, peranan ibu bapa dan masyarakat amat penting dalam menangani isu ini. Teknologi bukanlah musuh, tetapi cara penggunaannya perlu dikawal dan dibimbing.
Ibu bapa harus menetapkan had masa penggunaan gajet, mengelakkan penggunaan telefon semasa waktu bersama keluarga, mengehadkan penggunaan gajet di bilik tidur serta menggalakkan anak-anak melakukan aktiviti luar yang sihat.
Ibu bapa juga wajar menjadi teladan yang baik dalam penggunaan teknologi di hadapan anak-anak.
Kesimpulannya, remaja perlu dibimbing untuk menjadi pengguna gajet yang bijak dan beretika. Ketagihan gajet dalam kalangan remaja bukan sahaja memberi kesan kepada akademik, tetapi juga menyentuh aspek kesihatan, emosi, sosial dan kerohanian.
Teknologi sepatutnya menjadi alat untuk memudahkan kehidupan, bukan menjadi penguasa kepada manusia. Dengan pendekatan holistik dan penuh hikmah, semua pihak mampu berganding bahu melahirkan generasi celik teknologi yang sihat, waras dan berakhlak mulia.
Maklumat penulis:
1. Pelajar Komunikasi Media Baharu Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nur Zulaikha Mohd Razali.
2. Pensyarah Kanan Komunikasi Media Baharu (USIM), Dr Afiqah Kamarul.