HomeIPTBuletin IPTProgram Young Scientist Pioneer pupuk minat STEM murid sekolah di Kedah

Program Young Scientist Pioneer pupuk minat STEM murid sekolah di Kedah

Bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dilihat sebagai salah satu aspek yang penting dalam kehidupan seharian terutamanya kepada murid-murid sekolah.

Sehubungan itu, Kolej Datin Seri Endon (KDSE) dan Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan program Young Scientist Pioneer di tiga buat sekolah sekitar Kedah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Merbok (Pusat), SK Langkasuka, Yan dan SK Singkir, Merbok.

Ia merupakan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kedah.

Seramai 320 murid-murid Tahap Dua telah menyertai program itu yang berlangsung selama tiga hari bermula pada 5 hingga 7 Disember lalu.

Salah satu modul yang digunakan kepada murid-murid ialah Modul Ginjal.

Menurut penasihat program, Dr Nabila Kasim, ia selaras dengan visi Kementerian Pelajaran (KPM) untuk menghasilkan modal insan dalam bidang STEM yang berkualiti dan mencukupi bagi memacu ekonomi.

“Penganjuran program ini bertujuan memberi pendedahan teknik pembelajaran berasaskan STEM dengan menggunakan kaedah lebih menarik khususnya untuk para pelajar di peringkat sekolah rendah.

“Ini kerana bidang STEM saban hari menjadi salah satu aspek penting dalam kehidupan dan pendedahan yang sewajarnya perlu dilakukan pada peringkat sekolah rendah.

“Selain itu, program ini juga memberi peluang kepada murid-murid sekolah untuk mencuba pelbagai aktiviti menarik berkonsepkan STEM,” katanya kepada Sinar Bestari, baru-baru ini.

Aktiviti sepanjang program dilakukan adalah secara berkumpulan bagi memupuk semangat kerjasama di antara mereka.

Dalam pada itu, seramai 20 orang fasilitator terdiri daripada 18 pelajar pascasiswazah dan dua pelajar ijazah sarjana muda telah meluangkan masa untuk memberi bimbingan kepada murid-murid yang menyertai program tersebut.

Terdapat enam modul yang telah digunakan sepanjang program dengan memberi penekanan terhadap topik-topik silibus subjek Sains dan Matematik.

Pada hari pertama yang berlangsung di SK Merbok (Pusat), murid-murid disediakan Modul Aiskrim dan Kereta Belon bagi memberi pemahaman berhubung topik Jisim manakala pendedahan mengenai topik Pengaturcaraan dan Jambatan diadakan di SK Langkasuka.

Pada hari terakhir di SK Singkir, murid-murid disediakan dengan Modul Geseran dan Ginjal.

Sementara itu, Nabila berkata, sepanjang tiga hari program dilaksanakan, murid-murid kelihatan begitu teruja dengan aktiviti yang disediakan.

Murid-murid bekerja secara satu pasukan bagi menyelesaikan tugasan yang diberi.

“Pada permulaan program, murid-murid tidak begitu faham tentang bidang STEM tetapi setelah program berjalan, mereka semua berjaya menonjolkan kreativiti masing-masing dalam menyelesaikan sesuatu masalah.

“Jadi, kami sedang mempergiatkan lagi untuk meluaskan program ini di seluruh negara dan berharap ia dikembangkan lagi di tahap antarabangsa,” jelasnya.

Artikel berkaitan

Tingkatkan mutu sahsiah dan disiplin murid melalui Program Budaya Efisien Sahsiah Terampil

Pupuk minat murid terhadap STEM menerusi Program Penglibatan Mendalam

Kreatif! Pelajar MIDI UPM tonjol kreativiti reka bentuk perindustrian


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok