Pupuk minat murid terhadap STEM menerusi Program Penglibatan Mendalam
Pupuk minat murid terhadap STEM menerusi Program Penglibatan Mendalam

Pupuk minat murid terhadap STEM menerusi Program Penglibatan Mendalam

Roshlawaty Md Raieh
20 Nov 2022 04:09pm
A
A
A

Bagi mencetuskan rasa minat murid terhadap subjek berkaitan Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM), satu program dikenali Program Penglibatan Mendalam atau Highly Immersive Programme (HIP) telah dianjurkan kepada kumpulan murid sekolah sekitar Miri, Sarawak, baru-baru ini.

Kumpulan murid seramai 1200 orang itu terdiri daripada murid Tahun Satu hingga Tahun Enam dari empat buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tudan, SK Lutong, SK Senadin dan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung Hua Tudan.

Selain menarik minat murid terhadap STEM, program anjuran Universiti Curtin Malaysia dan SK Tudan itu juga membantu para peserta untuk menguasai Bahasa Inggeris dengan baik.

Menurut Guru Besar SK Tudan, Jamilah Mail, pembelajaran STEM sangat penting dalam mempersiapkan murid-murid untuk menghadapi cabaran global.

“Negara memerlukan bakat yang dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran STEM untuk mengekalkan daya saing global negara.

“Justeru itu, penganjuran HIP ini sangat bertepatan dalam melahirkan lebih ramai bakat-bakat muda yang mampu menguasai STEM kelak,” ujarnya.

Sementara itu, pelbagai aktiviti disediakan penganjur kepada para peserta di sepanjang program berlangsung.

Antaranya, menyediakan lapan ruang aktiviti untuk peserta terokai. Lapan ruang aktiviti yang dimaksudkan itu adalah ruang Kimia, Fizik, Pengaturcaraan, Sains, Seni, Kewangan, Matematik dan aktiviti roket air.

Setiap ruang itu memaparkan aktiviti inovatif dan interaktif yang menggalakkan penggunaan Bahasa Inggeris dalam kalangan murid sekali gus memenuhi minat mereka terhadap STEM.

Misalnya bagi ruang aktiviti Kimia, di sini murid-murid diperkenalkan dengan konsep ketumpatan dan reaksi kimia yang ringkas dalam menghasilkan lampu lahar menakjubkan.

Bagi ruang Fizik pula, peserta didedahkan kepada pengenalan mengenai graviti dan konsep dalam membuat roket air.

Manakala ruang aktiviti Pengaturcaraan, mereka akan belajar mengenai konsep asas aturcara dan pengekodan serta berfikir secara algoritma.

Seterusnya bagi ruang aktiviti Seni, peserta akan belajar tentang prinsip asas fotografi dalam mengambil foto yang menarik melalui ‘peraturan sepertiga’.

Kemudian, ruang aktiviti Matematik pula menyediakan maklumat tentang pengiraan asas operasi Matematik untuk memenangi hadiah.

Akhir sekali, Sinar Bestari berharap penglibatan murid-murid dalam program ini akan berjaya melahirkan lebih ramai modal insan mahir dalam bidang teknologi masa hadapan yang menjadi teras kepada Revolusi Industri 4.0.

Artikel berkaitan 

Pendidikan STEM perlu diberi pendedahan awal

Seminar STEM disertai 24 ahli akademik, jadikan platform bentang hasil kajian

Kejayaan pembudayaan STEM di sekolah luar bandar, Cikgu Anuthra dinobatkan pemenang Malaysia Teacher Prize 2022


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok