WhatsApp Image 2021-12-28 at 6.13.29 AM
WhatsApp Image 2021-12-28 at 6.13.29 AM

Proses pendaftaran pelajar baharu UPSI lancar, semua gembira

Roshlawaty Md Raieh
03 Jan 2022 12:37pm
A
A
A

Seramai 107 pelajar peringkat diploma Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melahirkan rasa gembira apabila berjaya melalui proses pendaftaran bagi kemasukan Sesi Akademik 2021/2022, baru-baru ini.

Proses pendaftaran tersebut yang diadakan secara bersemuka berjalan lancar dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat bagi mengelak sebarang jangkitan wabak Covid-19.

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff bangga dan mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang berjaya menyambung pengajian di universiti yang terkenal dengan panggilan Ibu Kandung Suluh Budiman.

“Saya berharap pelajar-pelajar dapat memanfaatkan segala peluang pembelajaran dan kemudahan prasarana yang terdapat di dua kampus iaitu Kampus Sultan Azlan Shah di Proton City dan Kampus Sultan Abdul Jalil Shah di Tanjung Malim,” katanya.

Terdahulu, semua pelajar baharu telah ditempatkan di Blok A dan Blok F, Kolej Awang Had Salleh di Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City.

Hadir sama dalam sesi pendaftaran pelajar berkenaan ialah Pengetua Kolej Awang Had Salleh, Dr Mohd Fadhil Abdullah dan Pengerusi Majlis Pengetua Kolej Kediaman UPSI, Prof Madya Dr Mohd Nizam Nasrifan.

Baca juga Kem Smart Robotic fokus pendidikan STEM, peserta teruja sertai program sempena cuti sekolah

Baca juga 5 persiapan diri jika ingin sertai aktiviti sukarelawan

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Dr Norkhalid Salimin berkata, pendaftaran pelajar baharu peringkat diploma itu adalah bagi jurusan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Diploma Sains dan Diploma Sains (Matematik).

“Mereka mengikuti pelbagai program yang kita sediakan seperti sesi suai kenal, sesi taklimat dan sebagainya yang dijalankan secara hibrid iaitu dalam talian dan bersemuka,” ujarnya yang sempat meluangkan masa bertemu dan beramah mesra dengan beberapa keluarga pelajar dan mendapati kesemuanya meluahkan rasa gembira kerana berjaya mendapat tempat sekali gus menjadi Keluarga UPSI.

Tambah beliau, UPSI selaku universiti nombor satu pendidikan akan melakukan yang terbaik dalam mendidik dan melahirkan anak bangsa yang bitara dan menepati ciri-ciri pendidik dan graduan yang cemerlang.

UPSI telah ditubuhkan pada 1 Mei 1997 di bawah Perintah Universiti Pendidikan Sultan Idris (Perbadanan) 1997 dan Perintah Universiti Pendidikan Sultan Idris (Kampus) 1997 menerusi Warta Kerajaan P.U (A) 132 & 133 yang bertarikh 24 Februari 1997.

Terletak di Tanjung Malim, Perak, universiti ini mempunyai dua kampus iaitu Kampus Sultan Azlan Shah dan Kampus Sultan Abdul Jalil Shah yang bitara dalam kepimpinan pendidikan berlandaskan kegemilangan sejarah serta menerajui perubahan global.

Ikuti juga kami di:

Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/

Twitter: https://twitter.com/GPSBestari

Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/

UPSI begitu komited untuk membawa perubahan dalam pendidikan melalui penyebaran ilmu menerusi pengajaran dan pembelajaran (PdP), penyelidikan, penerbitan, perundingan dan khidmat masyarakat dalam konteks pembangunan modal insan cemerlang di dalam negara dan di peringkat antarabangsa.

Pencapaian UPSI yang terkini adalah di kedudukan tunggal (=205) berbanding kedudukan berjulat (281 - 290) pada tahun sebelumnya.

UPSI membuktikan penjenamaan di rantau Asia, apabila buat julung kalinya menduduki tangga dalam QS The World University Ranking peringkat Asia bagi tahun 2022.

Dr Md Amin melahirkan rasa bangga dan bersyukur berikutan kali keempat melakar kejayaan yang membanggakan seluruh warga UPSI yang bekerja keras demi memasyhurkan nama UPSI di persada antarabanga.

“Kejayaan keempat bagi tahun 2021 ini adalah pengiktirafan kepada UPSI sebagai sebuah universiti berteraskan pendidikan yang berusia 100 tahun dan pencapaian UPSI semakin menyerlah,” katanya.

Menurut beliau, kejayaan itu adalah hadiah sempena sambutan 100 tahun pada 2022 dan berterima kasih kepada seluruh warga universiti yang berkorban tenaga dan hasil pengorbanan, usaha dan kerjasama dalam keluarga UPSI demi mengharumkan nama universiti.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok