Pupuk kesedaran masyarakat, kepentingan pemeliharaan hidupan marin

Rasyidah Zulkifi
03 Aug 2022 09:26am
A
A
A

Bagi meningkatkan kesedaran tentang pemeliharaan marin kepada masyarakat, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan RHB Islamic Bank Berhad menjalinkan kerjasama melalui Sidang Kemuncak Bidong yang telah diadakan di Kuala Terengganu pada 14 Julai hingga 16 Julai lalu.

Program ini bertujuan untuk memupuk rakyat Malaysia mengenai kepentingan pemuliharaan marin melalui program kesedaran alam sekitar, aktiviti pemeliharaan literasi lautan, pemindahan pengetahuan, penyelidikan dan pembangunan.

Pada sidang itu, turut membincangkan kepentingan memelihara alam sekitar dan ekosistem marin melalui pelbagai aktiviti bertemakan laut.

Antaranya, sesi selam skuba untuk pembersihan dasar laut, mencari tapak bawah air yang berpotensi menjadi inisiatif kelestarian pada masa akan datang dan sesi pembersihan pantai.

Menurut Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Datuk Dr Mazlan Abd Ghaffar, literasi lautan biasanya ditakrifkan sebagai pemahaman tentang pengaruh lautan terhadap manusia dan pengaruh manusia terhadap lautan.

“Dengan slogan kami ‘Terokaan Seluas Lautan, Demi Kelestarian Sejagat', UMT sentiasa komited menyokong usaha kerajaan untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) khususnya mengenai SDG 14 (Hidupan Bawah Air) dan SDG 13 (Perubahan Iklim) dalam semua aspek kerja termasuk aktiviti penyelidikan, akademik, pemindahan pengetahuan dan Tanggungjawab Sosial Universiti (USR).

“Perkongsian ini akan menyediakan sinergi kepada UMT untuk menyampaikan mesej berkaitan kelestarian sumber akuatik secara meluas, terutamanya kepada RHB Islamic Bank.

“Kami berharap kerjasama kedua-dua belah pihak ini akan meningkatkan literasi lautan dalam kalangan masyarakat dan membantu mencapai misi untuk menjadi universiti berfokuskan marin yang terkemuka di peringkat global,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic Bank Berhad, Datuk Adissadikin Ali berkata, program bertemakan marin ini merupakan sebahagian daripada inisiatif utama RHB Islamic Bank, ‘Ocean Harmoni’ yang merangkumi prinsip Value-Based Intermediation (VBI).

Datuk Adissadikin Ali semasa pembersihan bawah air di Pulau Bidong, Terengganu.

“Program yang dijalankan bersama-sama dengan rakan kongsi kami, UMT dan Persatuan Pemuliharaan Kapas ini bertujuan untuk menyokong usaha pemeliharaan marin dan juga bagi membantu masyarakat tempatan, terutamanya mereka yang bergantung kepada lautan sebagai mata pencarian.

“Usaha pemuliharaan ekosistem marin ini akan menyumbang ke arah mengawal selia iklim dan mengurangkan kesan perubahan iklim di mana ia selaras dengan aspirasi kumpulan kami.

“Kami akan terus menekankan kepentingan menjaga ekosistem lautan dalam kalangan masyarakat tempatan termasuk kakitangan RHB dan usaha ini bertujuan untuk memastikan lautan bersih dan sihat dalam jangka masa panjang,” katanya.

Artikel berkaitan

Minat dalam bidang sains marin? Ini peluang pekerjaan yang menanti anda

UPSI anjur program saham dalam usaha memupuk kesedaran pengurusan kewangan mahasiswa

National Science Challenge 2022: Platform pupuk minat pelajar bidang STEM


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok