Untitled design (45)
Untitled design (45)

ResQ Team hulur bantuan kepada mangsa banjir di pantai timur

Azleenda Sahaludin
23 Dec 2022 05:41pm
A
A
A

Banjir teruk yang berlaku di tiga negeri Pantai Timur sejak 19 Disember lalu telah menyebabkan mangsa-mangsa terputus bekalan makanan dan terkandas di kediaman masing-masing.

Cakna dan prihatin terhadap situasi tersebut, pasukan sukarelawan dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang digelar ResQ Team telah memulakan misi bantuan menyelamat mangsa banjir di dua daerah yang terjejas iaitu Pasir Puteh dan Pasir Mas, Kelantan.

Dr Omar.

ResQ Team yang diketuai pensyarah Sains Sukan dan Kejurulatihan UPSI, Dr Omar Firdaus Mohd Said berkata, pasukan itu terdiri daripada 12 sukarelawan dalam kalangan pelajar dan staf UPSI.

Tuturnya, misi kali ini lebih tertumpu kepada bantuan menyelamat mangsa banjir di sekitar kawasan kediaman selain menyalurkan bekalan makanan dan pakaian.

Dengan tenaga dan kemahiran daripada pakar dalam bidang menyelamat, ResQ Team juga berjaya menyelamatkan tiga buah keluarga yang terkandas di Kampung Topeng dan Taman Sri Mas.

“ResQ Team tiba di Terengganu pada 20 Disember sebelum bergerak ke Kelantan setelah menerima maklumat tentang keadaan di sana daripada pasukan penyelamat.

“Mereka telah memaklumkan bahawa kawasan Pasir Mas sudah ditenggelami air dan masih ada beberapa mangsa yang terkandas di kediaman masing-masing.

Sukarelawan UPSI menggunakan raft dan dinghy bagi membantu menyelamat mangsa banjir.

“Dengan menggunakan satu unit dinghy dan raft, kami berjaya menyelamat mangsa sebelum keadaan menjadi buruk,” katanya ketika dihubungi Sinar Bestari, baru-baru ini.

Dr Omar turut memaklumkan, sekurang-kurangnya 300 mangsa banjir telah menerima sumbangan hasil daripada kutipan universiti dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO).

Tambahnya lagi, pasukan tersebut juga sedang bersiap sedia untuk menghulurkan bantuan sekiranya berlaku banjir pada masa terdekat.

Setakat ini Dr Omar memberitahu, ResQ Team akan ke Terengganu pada minggu depan bagi membantu dalam pasca pembersihan di kawasan-kawasan yang terjejas.

Artikel berkaitan

9 pelajar UPSI layak ke saringan akhir Anugerah Tokoh Siswa Kebangsaan 2022

774 pelumba basikal meriahkan UPSI 100 Years Century Ride

Amir Izwan dinobat Tokoh Siswa UPSI 2021


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok