HomeIPTBuletin IPTRezeki majikan di Malaysia! Bakal terima graduan yang lebih bersedia memasuki alam...

Rezeki majikan di Malaysia! Bakal terima graduan yang lebih bersedia memasuki alam pekerjaan

Syarikat dan majikan di Malaysia bakal memperoleh graduan universiti yang sudah bersiap sedia untuk melaksanakan tugas dengan lebih baik menerusi sebuah inisiatif yang dilancarkan Universiti Multimedia (MMU).

Melalui inisiatif yang dinamakan iCadet, pelajar-pelajar yang berkelayakan akan dilatih menjadi graduan yang bersedia untuk industri.

Program berkenaan akan memadankan para pelajar dengan syarikat-syarikat yang bersesuaian dan menerusi beberapa siri mesyuarat, projek dan aktiviti, pelajar MMU ini akan didedahkan dengan persekitaran kerja sebenar dalam syarikat-syarikat terbabit.

Dengan bekerja secara lebih dekat dengan majikan terpilih itu, setiap pelajar akan diperkenalkan dengan budaya kerja, rakan sekerja dan bentuk perniagaan sesebuah industri.

Kemudian, sebaik sahaja tamat pengajian, setiap pelajar akan lebih mengenali tentang firma majikan dan seterusnya bersedia untuk menjadi sebahagian daripada pasukan tenaga kerja di tempat kerja.

Presiden MMU, Profesor Datuk Dr Mazliham Mohd Su’ud berkata, beliau amat teruja terhadap program itu yang dijangka akan memberi impak positif kepada majikan-majikan di Malaysia.

“Kami percaya inisiatif ini adalah ‘game changer’ dalam industri. Ia menjimatkan sumber majikan yang sebelum ini terpaksa membelanjakan banyak sumber untuk melatih pekerja baharu sebelum mereka boleh memberi tugasan sebenar. Sumber yang dijimatkan dalam memberi latihan kepada kakitangan juga akan memberi impak positif kepada majikan.

“Setakat ini, sebanyak 35 organisasi telah mengesahkan penyertaan dan saya yakin lebih banyak organisasi akan menyertai iCadet Program ini pada masa depan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran program tersebut, baru-baru ini.

Imri (kanan) menyampaikan plak penghargaan kepada wakil Kedutaan Perancis.

Sementara itu, Pengarah Urusan / Ketua Pegawai Eksekutif Telekom Malaysia (TM), Imri Mokhtar berkata, TM begitu tertarik dengan inisiatif dan potensi program iCadet malah mereka berbangga kerana bakal menerima bakat-bakat iCadet dalam pelbagai bidang tidak lama lagi.

“Saya amat berharap melalui program ini, ramai pemimpin masa depan daripada generasi muda kita akan mendapat manfaat yang besar dan akhirnya akan menjadi graduan yang sudah bersiap sedia memasuki alam pekerjaan sebaik tamat pengajian kelak,” katanya ketika merasmikan iCadet.

Program iCadet akan ditawarkan kepada pelajar tahun kedua di Kampus Melaka dan Cyberjaya.

Pelajar yang menyertai program ini akan menjalani beberapa model latihan dan aktiviti termasuk Program Jalinan Industri (Industry Handshake Programme), Latihan Industri, Projek Tahun Akhir Industri, aktiviti tanggungjawab sosial & korporat (CSR) dan lawatan serta acara tahunan syarikat.

Dalam pada itu, Dr Mazliham mengalu-alukan semua syarikat dan majikan di negara ini untuk menyertai iCadet Program kerana ia terbuka kepada semua perniagaan dan industri.

Bagi mendapatkan maklumat berkenaan program ini, layari https://www.mmu.edu.my/icadet untuk info lanjut.

Artikel berkaitan

3 Penyelidik MMU tersenarai antara Top 2% Scientists in the World

Pameran UNLOCK: FCM Graduation Show 2022 cetus gelombang baharu dalam industri kreatif

Atlet MMU banggakan Malaysia dengan 5 emas di Thailand


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok