Sekolah Perniagaan Malaysia UPM terima akreditasi EQUIS
Sekolah Perniagaan Malaysia UPM terima akreditasi EQUIS

Sekolah Perniagaan Malaysia UPM terima akreditasi EQUIS

Roshlawaty Md Raieh
03 Nov 2022 09:58am
A
A
A

Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), Universiti Putra Malaysia (UPM), telah menerima akreditasi EFMD Quality Improvement System (EQUIS) bagi tempoh tiga tahun daripada European Foundation for Management Development (EFMD).

Menurut Naib Canselor UPM, Datuk Profesor Dr Mohd Roslan Sulaiman, pengiktirafan ini adalah bukti komitmen SPE UPM terhadap kecemerlangan pendidikan kepada pelajarnya dan menekankan kualiti program, staf dan penyelidikan.

“Akreditasi EQUIS membawa nilai tambah yang berharga kepada akreditasi Association to Advance Collegiate Schools of Business (AACSB) yang sedia ada.

“Ia mengukuhkan kedudukan SPE UPM sebagai institusi pendidikan perniagaan terkemuka di Malaysia dan di peringkat global,” ujarnya. .

Tambah beliau, pencapaian ini juga sejajar dengan Pelan Strategik UPM 2021-2025 Matlamat 1 Melahirkan Watak Graduan Berdaya Tahan Mendepani Cabaran Mendatang dan selaras dengan visi UPM untuk menjadi universiti bereputasi antarabangsa.

Dekan SPE UPM, Profesor Dr Bany Ariffin Amin Noordin berkata, akreditasi EQUIS merupakan pencapaian penting dalam perjalanan SPE UPM untuk menjadi sekolah perniagaan terkemuka di Asia.

“Kami amat berbangga menjadi sekolah perniagaan tempatan yang pertama di Malaysia yang telah mendapat pengiktirafan berprestij ini.

“Pencapaian ini pastinya akan membuka peluang kepada SPE UPM untuk meningkatkan kerjasama dengan industri, komuniti dan sekolah perniagaan terkemuka lain di seluruh dunia,” jelasnya dengan menambah akreditasi ini akan membuka lebih banyak peluang untuk SPE UPM meningkatkan kualiti dan kebolehpasaran para pelajar.

Akreditasi EQUIS merupakan pencapaian yang membanggakan bagi UPM, menjadikannya universiti Malaysia yang pertama mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Pada masa ini, terdapat 209 sekolah yang diiktiraf EQUIS di seluruh dunia.

Dengan anggaran 16,000 sekolah perniagaan di seluruh dunia, SPE UPM kini menyertai 2 peratus kumpulan elit sekolah perniagaan yang diiktiraf EQUIS.

EQUIS merupakan sistem penilaian kualiti antarabangsa, penambahbaikan dan akreditasi untuk institusi pendidikan tinggi dalam pentadbiran pengurusan dan perniagaan.

Bagi mencapai akreditasi tersebut, SPE UPM telah menjalani proses penilaian yang ketat termasuk laporan penilaian kendiri yang mendalam, diikuti dengan lawatan secara dalam talian daripada pasukan penilai yang terdiri daripada pakar-pakar antarabangsa.

Bidang yang dinilai merangkumi semua aspek operasi sekolah perniagaan, penanda aras terhadap piawaian antarabangsa dalam tadbir urus, program, pelajar, staf, penyelidikan, pengantarabangsaan, etika, tanggungjawab dan kemampanan serta penglibatan korporat.

Sementara itu, untuk dianugerahkan akreditasi EQUIS, sekolah perniagaan mesti menunjukkan bahawa ia telah memenuhi piawaian antarabangsa tertinggi dalam setiap bidang ini.

Akreditasi ini adalah bukti kepada penawaran program akademik yang berkualiti tinggi dan komitmen padu staf SPE UPM kepada kecemerlangan dan penambahbaikan berterusan bagi menyediakan pengalaman pembelajaran yang cemerlang untuk pelajar.

Melangkah ke hadapan, SPE UPM akan menjalani proses akreditasi semula setiap lima tahun dengan AACSB pada Mac 2023 untuk mengekalkan akreditasi antarabangsa ini.

Artikel berkaitan 

Penyelidik UPM terima Pingat Saintis Muda Polar

3 pensyarah UPM terima pengiktirafan Top Research Scientist Malaysia 2022

Penyelidik UPM guna teknologi retort bagi inovasi sos labu


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok