Ahli projek
Ahli projek

Sistem ELEGANT permudah urusan pengeluaran surat jaminan hospital pelajar UTHM

Adlan Farhan Azwan
31 Jan 2022 04:15pm
A
A
A

BATU PAHAT - Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) baru-baru ini telah berjaya membangunkan sistem penjanaan Surat Jaminan Hospital Secara Dalam Talian atau dikenali sebagai Electronic Guarantee Letter (ELEGANT) bagi tujuan pelajar mendapatkan rawatan di hospital kerajaan di seluruh Malaysia.

Sistem ini bakal memberi manfaat kepada pelajar berkeperluan daripada jumlah populasi 18,000 pelajar tempatan UTHM yang mengikuti pengajian di kampus induk Parit Raja dan kampus cawangan Pagoh.

ELEGANT juga mampu memberi impak yang sangat positif dari segi pelaksanaan iaitu penjimatan kos operasi, akses oleh pegawai yang dilantik dan pelajar dari dalam dan luar kampus, serta sangat praktikal pada waktu kecemasan dan di luar jangkaan.

Baca juga 88 Pegawai Kadet PALAPES UTM dan UTHM ditauliah sebagai Pegawai Muda

Baca juga Fakulti MJIIT di bawah UTM kini hab pengurusan bencana ASEAN

Menurut Ketua Projek, Hawa Omar, sistem ELEGANT dibangunkan untuk menambah baik kaedah pengeluaran Surat Jaminan Pelajar yang sebelum ini dikeluarkan secara manual.

“Menerusi ELEGANT, surat laporan dan statistik boleh dijana secara dalam talian, menyediakan fungsi notifikasi e-mel kepada pihak yang berkepentingan dan menyediakan sistem perkhidmatan yang berkualiti untuk kepentingan dan kesejahteraan pemegang taruh terbesar universiti.

“Penggunaan ELEGANT yang fleksibel dapat menjamin pengeluaran Surat Jaminan Pelajar pada kadar masa yang berpatutan serta tidak terhad dalam hari dan waktu bekerja sahaja.

“Capaian sistem menerusi web based ini membenarkan pelajar mengakses ke dalam sistem di mana-mana sahaja,” jelasnya.

Hawa berkata, akses pelulus bagi penjanaan surat jaminan ini juga tidak terhad kepada pegawai di Pejabat Hal Ehwal Pelajar, kampus induk Parit Raja sahaja, malah ia telah diperluaskan kepada semua pengetua kolej kediaman dan pegawai Bahagian Hal Ehwal Pelajar, kampus cawangan Pagoh.

Pembangunan ELEGANT dibiayai oleh Geran Pentadbir Universiti yang ditaja oleh Pejabat Pendaftar serta dipantau melalui sistem ORKED di bawah Pusat Pengurusan Penyelidikan.

Geran ini melibatkan beberapa ahli lain iaitu Suhailah Muhammad Philip, Ruhaya Ab Aziz, Norziha Airdzaman dan Nur Izzati Syahirah Japari.

Antara individu yang menjadi tulang belakang bagi menjayakan projek ini

Khidmat Graduan Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian) Dengan Kepujian tahun 2020, Nur Izzati Syahirah Japari dari Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat turut digunakan oleh Pembangunan ELEGANT.

Ikuti juga kami di:

Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/

Twitter: https://twitter.com/GPSBestari

Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/

“Penyertaan graduan dalam projek ini turut memperlihatkan mereka mampu menghasilkan produk inovasi yang berimpak, bermula saat menjalani latihan industri sehinggalah mereka menamatkan pengajian,” katanya.

Mengimbas kembali proses pembangunan ELEGANT, projek Geran Pentadbir ini diberi tempoh selama satu tahun, bermula pada 1 September 2020 dan berakhir pada 31 Ogos 2021.

“Sungguhpun menghadapi cabaran mengekalkan konsistensi gerak kerja pada era pandemik Covid-19, projek ini berjaya disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan dan pelajar boleh menggunakan aplikasi ini bermula 26 Januari 2022.

“Tahniah diucapkan kepada semua ahli geran yang sangat komited dan berdedikasi dalam menyelesaikan projek ini dengan jayanya dan terima kasih kepada Pejabat Pendaftar, Pusat Teknologi Maklumat serta Pusat Pengurusan Penyelidikan dalam membantu melancarkan pengurusan projek ini,” jelas Hawa.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok