HomeIPT5 kelebihan menjadi sukarelawan di universiti

5 kelebihan menjadi sukarelawan di universiti

Hari ini, aktiviti kesukarelawan atau khidmat masyarakat semakin berkembang dan mendapat perhatian umum.

Ia bukan sahaja aktif dalam kalangan badan bukan kerajaan (NGO), tetapi juga menjadi perkara signifikan kepada institusi pengajian tinggi (IPT).

Menurut Profesor Madya Dr Md Asrul Nasid Masrom dari University of Melbourne, Victoria, Australia, usaha murni berkaitan kesukarelawan ini merupakan platfom terbaik dalam usaha memecahkan tembok dan juga merapatkan jurang di antara kedua-dua pihak iaitu universiti dan masyarakat.

Malah semangat kesukarelawan melalui pelbagai bentuk khidmat sosial secara sukarela ini giat dijalankan di peringkat global.

“Di Australia, kebanyakkan universiti membuka ruang kepada mahasiswa untuk melibatkan diri sebagai sukarelawan (student volunteer) dalam usaha membantu bukan sahaja masyarakat setempat tetapi juga negara-negara yang memerlukan bantuan.

“Tidak kurang juga di Malaysia, yang mana penglibatan mahasiswa dalam menggembleng tenaga sebagai sukarelawan ini telah membuka mata pelbagai pihak di atas usaha yang disumbangkan kepada masyarakat setempat mahupun di peringkat antarabangsa,” ujarnya.

Sementara itu, penglibatan pelajar dalam bidang sukarelawan cukup bermakna kerana banyak kelebihan atau faedah apabila mereka menjadi sukarelawan mahasiswa ini.

Md Asrul menyenaraikan lima kelebihan bagi pelajar yang sukarela menyertai program khidmat masyarakat tersebut.

1) Meningkatkan kepuasan diri (self satisfaction)

Dalam usaha mencapai kepuasan dan kegembiraan dalam hidup, mahasiswa perlu mempunyai matlamat dan tujuan yang jelas. Dengan menghulurkan bantuan, mahasiswa dapat meningkatkan rasa kepuasan dalam diri masing-masing. Menurut Pakar Psikologi, Dr Tim Sharp yang juga dikenali sebagai Dr Happy dari University of Sydney, seseorang akan merasa gembira apabila membuat orang lain gembira. Dengan meluaskan vibe kegembiraan ini, secara tidak langsung ia juga dapat merangsang minda (otak) untuk lebih cergas yang mana ia sangat penting kepada pelajar.

2) Menjadikan tahap kesihatan lebih baik

Ramai dalam kalangan pelajar yang menghadapi kemurungan akibat tertekan dengan tugasan, ujian dan kuiz yang banyak. Perubahan gaya hidup di kampus yang malap dan pasif perlu diubah sepenuhnya oleh pelajar. Salah satu caranya ialah dengan melibatkan diri sebagai sukarelawan dalam aktiviti khidmat sosial yang dianjurkan kelab pelajar atau mana-mana organisasi kerajaan dan bukan kerajaan. Ini kerana dengan penglibatan secara aktif, ia dapat meningkatkan kesihatan fizikal dan psikologi mahasiswa. Badan yang cergas dapat membentuk otak yang cerdas.

3) Mengukuhkan jaringan sosial

Menyertai kesukarelawan mahasiswa merupakan langkah bijak dalam usaha meningkatkan jaringan sosial (social networking). Terdapat pelbagai cara yang pelajar boleh lakukan dalam usaha meluaskan jaringan sosial ini antaranya melalui kutipan bantuan dana, bantuan tenaga, perkongsian ilmu dan pemindahan teknologi.
Melalui usaha murni ini, sekaligus ia dapat menerapkan hubungan yang lebih positif di antara mahasiswa dan komuniti di peringkat tempatan mahupun global dengan wujudnya sikap kerjasama, kepercayaan dan rasa hormat yang tinggi.

4) Mewujudkan jaringan profesional

Pelbagai aktiviti khidmat sosial yang dianjurkan oleh IPT boleh disertai oleh para pelajar. Di University of Melbourne misalnya, mahasiswa diberi pilihan sama ada melibatkan diri dalam aktiviti kesukarelawan yang dianjurkan di dalam atau luar kampus. Mahasiswa bukan sahaja dapat meluaskan kenalan tetapi juga dapat meningkatkan kemahiran dan jaringan profesional melalui aktiviti seperti Engineers without borders, The Grainger Musem, Melbourne Microfinance Initiative, Big Bothers Big Sisters dan Go Volunteers. Aktiviti-aktiviti tersebut merupakan lubuk terbaik untuk mereka menimba pengalaman secara terus daripada pakar dan juga profesional dari industri.

5) Mewujudkan nilai tambah dalam diri

Dalam usaha menjadi mahasiswa holistik, mereka perlu bijak mengatur strategi dalam mencapai kecemerlangan akademik dan soft skill. Keseimbangan ini telah menjadi faktor utama dalam kalangan majikan atau organisasi untuk membuat pemilihan pekerja pada era ini.
Mahasiswa yang aktif dalam aktiviti khidmat sosial mempunyai bonus untuk mereka menceburi dunia pekerjaan yang sebenar dan mempunyai peluang yang lebih untuk mendapatkan pekerjaan.

Kelebihan pelajar yang cenderung dan aktif dalam pelbagai aktiviti khidmat sosial ini dilihat mempunyai nilai kemanusiaan yang tinggi, semangat kerjasama yang baik, memiliki sikap toleransi dan mempunyai sikap ingin membantu yang tinggi.

Akhir sekali, semua pihak perlu memainkan peranan dalam usaha memperluaskan kegiatan kesukarelawan dalam kalangan mahasiswa ini.

Bukan sahaja minda mahasiswa yang perlu berubah, malah transformasi minda secara konsisten dengan menyediakan ruang dan peluang yang luas serta dana mencukupi oleh pihak kerajaan dan swasta, institusi pengajian, NGO dan komuniti adalah diperlukan dalam memastikan nilai melalui aktiviti gotong-royong dan rewang yang pernah dikenali suatu masa dulu dapat diteruskan oleh generasi kini dan akan datang secara mampan.

Artikel berkaitan 

Lukis potret guna tangan dan kaki, bakat luar biasa Cikgu Saiful buat ramai terpegun

Kelainan sekolah di Jepun yang mungkin ramai tidak tahu. Ini faktanya!

‘Yah Kuchai’ Kampung Pisang kini lulusan Diploma Bahasa Inggeris UPSI, berhasrat jadi pendidik


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok