Yah Kucai sarang art hub
Yah Kucai sarang art hub

‘Yah Kuchai’ Kampung Pisang kini lulusan Diploma Bahasa Inggeris UPSI, berhasrat jadi pendidik

Adlan Farhan Azwan
01 Jul 2022 12:23pm
A
A
A

Popular dengan watak ‘Yah Kuchai’, Afea Deanna Baharudean, 22, adalah salah seorang graduan yang menerima Diploma Bahasa Inggeris semasa sesi keenam, Istiadat Konvokesyen ke-23, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), baru-baru ini.

Afea Deanna yang membintangi filem 18 Puasa Di Kampong Pisang, Kampong Pisang Bersiri-Siri dan Kampong Pisang Musikal Raya memanjatkan rasa syukur ketika ditemui selepas istiadat konvokesyen berakhir.

“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada kedua ibu bapa, pensyarah dan rakan-rakan yang banyak membantu perjalanan saya di UPSI sehingga berjaya menamatkan pengajian dengan jayanya.

“Pada awalnya agak susah untuk menyesuaikan diri kerana saya gadis luar bandar, membesar dalam suasana kampung dan tidak biasa dengan persekitaran kampus.

“Tambahan pula berjauhan dengan keluarga, namun sedikit demi sedikit, saya belajar cara berdikari dan mula mencari kerja untuk menampung kos pengajian saya di sini,” kata anak kelahiran Tanjung Piai, Johor itu.

Ujarnya lagi, bukan mudah untuk membahagikan masa belajar sambil bekerja, namun dia mempunyai formula dan kaedah belajar yang tersendiri.

“Cara pembelajaran saya adalah dengan memberi tumpuan sepenuhnya ketika di dalam kelas dan rutin harian saya ialah pergi kelas, habis kelas, pergi kerja.

Afea pernah bekerja di kafe Sarang Art Hub milik Allahyarham Mamat Khalid.

“Apabila sudah habis dengan kerja, saya manfaatkan masa yang terluang untuk menyelesaikan sebarang tugasan sebelum tidur.

“Keesokan harinya, saya masuk kelas seperti rakan-rakan mahasiswa yang lain dan Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar,” kongsinya.

Tidak dilahirkan dalam keluarga yang senang, anak ketiga daripada lapan orang adik beradik ini sudah dididik untuk memahami cabaran dalam kehidupan.

Afea bersama kedua ibu bapanya merakamkan detik indah bergraduasi.

“Bapa saya menggalas tugas berat menyara keluarga selepas ibu terpaksa berhenti kerja beberapa tahun lalu kerana menjaga arwah adik bongsu yang sakit sebelum meninggal dunia,” jelasnya yang masih berduka atas kehilangan adik tercinta, Aizzuddean Baharudean, beberapa minggu sebelum istiadat konvokesyen.

Dalam pada itu, Afea Deanna mengakui setakat ini masih belum ada lagi pelawaan untuknya beraksi di layar perak.

"Fokus saya sekarang adalah untuk menyambung pengajiannya ke peringkat ijazah sarjana muda, sesuai dengan hasrat kedua ibu bapa yang mahu melihat saya menjadi seorang pendidik.

“Bagaimanapun, baru-baru ini saya dapat tawaran lakonan dalam sebuah siri sitkom televisyen yang bakal diterbitkan pada Julai ini,” tambahnya.

Watak Yah Kuchai dalam beberapa karya Allahyarham Mamat Khalid atau nama sebenarnya, Mohamad Mohamad Khalid telah mendapat perhatian umum yang rata-rata suka dan terhibur dengan lakonan bersahaja oleh Afea Deanna.

Menurut Afea, terlalu banyak jasa Allahyarham lebih-lebih lagi apabila beliau merupakan insan yang bertanggungjawab membawa namanya ke persada seni lakonan dan akan menolak sekiranya ada tawaran lain untuk dia tampil sebagai Yah Kuchai di masa akan datang.

“Watak Yah Kuchai hanya eksklusif buat filem Allahyarham Mamat Khalid kerana hanya beliau sahaja yang betul-betul mengerti watak itu,” jelasnya lagi.

Artikel berkaitan

Bukan mudah jadi pelakon dan pelajar, Sweet Qismina akhirnya berjaya terima ijazah

Genggam PhD pada usia muda, Zulfati Izazi kini pensyarah hebat di Korea

Gadis Cina fasih berbahasa Melayu, Mek Yun UTHM raih 2 anugerah


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok