Berkat doa mak ayah, kembar seiras UTM ini bakal jurutera di Singapura
Berkat doa mak ayah, kembar seiras UTM ini bakal jurutera di Singapura

Berkat doa mak ayah, kembar seiras UTM ini bakal jurutera di Singapura

Roshlawaty Md Raieh
24 Nov 2022 09:55am
A
A
A

Perjalanan hidup pasangan kembar seiras ini sudah disusun dengan begitu cantik oleh ALLAH SWT.

Mana tidaknya, sejak dari dahulu hingga sekarang, kembar seiras yang dikenali Amirah Syafirah Rizal dan Amirah Syahirah Rizal yang masing-masing berumur 23 tahun sentiasa dilimpahkan dengan pelbagai kejayaan sama ada di bangku sekolah atau di kampus.

Terbaharu, pasangan kembar yang baru sahaja menamatkan pengajian di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Ogos lalu telah dimurahkan rezeki oleh ALLAH dengan mendapat tawaran kerja sebagai jurutera di sebuah syarikat logistik di Lapangan Terbang Changi, Singapura, dan akan memulakan tugas pada 12 Disember ini.

Alhamdulillah, murahnya rezeki mereka. Baru sahaja tamat belajar, sudah mendapat pekerjaan tetap. Syukur.

Sinar Bestari menghubungi salah seorang kembar seiras ini bagi mengucapkan tahniah atas pencapaian tersebut sekali gus berkongsi kegembiraan bersama-sama dengan mereka.

Panggilan yang dibuat kepada Amirah Syafirah iaitu kakak Amirah Syahirah disambut mesra gadis cantik ini.

ALLAH telah menyusun jalan cerita pasangan kembar seiras ini begitu cantik sekali.

“Alhamdulillah kak, rezeki ALLAH bagi buat kami. Memang tidak sangka secepat ini saya dan adik mendapat tawaran kerja memandangkan baru sahaja tamat pengajian.

“Apa-apa pun, syukur sangat-sangat. Terima kasih kepada ayah, Rizal Hasan, 64, dan ibu, Suriyani Abdullah, 53, yang tidak putus-putus mendoakan kejayaan anak mereka ini,” ujarnya yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Elektrik dan Elektronik UTM.

Mengulas lanjut mengenai kerjaya sebagai jurutera, anak kelahiran Tampoi, Johor Bahru ini berkata, pekerjaan tersebut sememangnya menjadi idaman dia dan adiknya selama ini.

“Kami suka pada cabaran dan kerana itu jurutera dipilih sebagai sumber pendapatan.

“Insya-ALLAH, kami akan bekerja sebaik mungkin dalam membantu keluarga yang bukan dalam kalangan orang senang,” katanya dengan menambah ayah hanyalah bekas pemandu bas manakala ibu tidak bekerja akibat masalah kesihatan.

Pasangan kembar seiras itu baru sahaja diraikan pada Majlis Konvokesyen UTM ke-66, baru-baru ini.

Mereka antara 7,934 graduan yang terdiri daripada 441 penerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD); 1,478 Ijazah Sarjana (Master); 4,368 (Sarjana Muda) dan 994 (Diploma) menerima ijazah dan diploma masing-masing pada majlis tersebut.

Bersama ibu bapa yang sentiasa menyokong dalam segenap perkara.

Amirah Syafirah merupakan penerima biasiswa Yayasan Sultan Iskandar manakala Amirah Syahirah penerima biasiswa di bawah UTM.

Ditanya mengenai pernah ‘berpisah’ atau tidak sepanjang menjadi kembar seiras, ini jawapan Amirah Syafirah.

“Kami tidak pernah ‘berpisah’. Ke mana sahaja kami pergi, pasti akan bersama-sama.

“Makan, minum, hobi, program kegemaran, idola, cita-cita, pelakon dan penyanyi kesukaan serta lain-lain lagi, semuanya sama.

“Mungkin kerana saya dan adik pasangan kembar, jadi apa yang kami lakukan memang serupa,” ujarnya mengakhiri perbualan.

Akhir sekali, Sinar Bestari mendoakan agar perjalanan hidup pasangan seiras ini sentiasa dipermudahkan oleh Yang Maha Esa.

Apa yang mereka lakukan sentiasa serupa termasuklah daripada segi pemakaian.

Artikel berkaitan 

Pasangan kembar seiras teruja masuk UM bersama

Suami isteri sebak terima anugerah anumerta arwah anak

Bangga dengan tradisi Sarawak, Dr Kaleena hadiri konvokesyen berpakaian tradisional Orang Ulu


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok