download (10)
download (10)

Fazley Yaakob tunaikan janji arwah bapa, berjaya tamatkan pengajian ijazah sarjana

Adlan Farhan Azwan
19 Oct 2022 12:19pm
A
A
A

Meskipun sudah bergelar selebriti terkenal tanah air dan mempunyai perniagaan sendiri, ia tidak pernah menjadi penghalang buat Datuk Ahmad Fadzli Yaakob, 44, atau lebih dikenali sebagai Fazley Yaakob untuk menamatkan pengajian di peringkat ijazah sarjana.

Dia pernah berjanji kepada Allahyarham bapanya, Datuk Yaakob Mohammad, yang meninggal dunia pada tahun 2016 akibat komplikasi paru-paru untuk melanjutkan pengajian dan sekali gus menjadi pembakar semangat sehingga berjaya bergelar graduan ijazah sarjana dalam bidang Pengurusan dan Perniagaan di Asia E University (AEU), Subang Jaya, Selangor.

Menurutnya, berkat doa dan sokongan daripada ibu dan isteri serta keluarga tercinta menjadi pembakar semangat untuk berjaya menamatkan perjalanan dalam menimba ilmu di peringkat sarjana.

Kejayaan Fazley turut dikongsi bersama ahli keluarga yang menghadiri majlis konovkesyen.

"Namun, ini hanya sebahagian daripada perjalanan yang lebih panjang. Janji saya kepada arwah bapak tetap saya tunaikan," katanya menerusi hantaran di laman Instagram, baru-baru ini.

Selain kejayaan bergelar graduan sarjana pada Ahad lalu, Fazley turut berhasrat menyambung pengajian ke peringkat doktor falsafah di universiti yang sama pada masa akan datang.

"Bagi yang mengenali saya, mereka  akan tahu bahawa saya seorang yang gemar belajar dan mencari ilmu, tidak kira bidang apa atau jurusan apa asalkan ada peningkatan ilmu," tambahnya.

Sebelum ini Fazley pernah berdepan dengan pelbagai ujian dan dugaan sepanjang tempoh tiga tahun pengajian termasuk menguruskan hal berkaitan keluarga selepas pemergian arwah bapanya.

Ujar bapa kepada empat orang cahaya mata itu, pembahagian masa yang baik diikuti dengan tahap disiplin yang tinggi menjadi ramuan utama buat dirinya untuk mengekalkan fokus dalam pembelajaran di samping menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

Artikel berkaitan

Tamat pengajian sarjana dalam bidang TESL, Najwa Latif teruja mahu bergelar Doktor

Isteri sebak terima ijazah sarjana arwah suami

‘Yah Kuchai’ Kampung Pisang kini lulusan Diploma Bahasa Inggeris UPSI, berhasrat jadi pendidik


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok