Raih dua anugerah, memang hebatlah Mek Yun!
Raih dua anugerah, memang hebatlah Mek Yun!

Mek Yun 'Mek Kelate' raih 2 anugerah terbaik universiti! Ini rahsia yang dikongsi beliau

Roshlawaty Md Raieh
25 May 2022 01:28pm
A
A
A

Pada Istiadat Konvokesyen ke-21 Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), baru-baru ini, graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik, UTHM, Wee Yun Nee telah meraih dua anugerah.

Wee Yun Nee atau mesra disapa Mek Yun merupakan seorang kakitangan yang kini bertugas sebagai Eksekutif Growth & Culture di syarikat penerbangan AirAsia telah menerima Anugerah Naib Canselor dan Anugerah Projek Sarjana Muda Terbaik bagi Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektrik.

Hari ini, selain dikenali ramai dalam kalangan pengguna TikTok kerana kefasihannya bertutur dalam bahasa Melayu dan dialek Kelantan, gadis cantik berusia 25 tahun ini telah berjaya mengumpul hampir 500,000 pengikut dan meraih kira-kira 7 juta tanda suka di TikTok.

Manakala di Instagram pula, Mek Yun memiliki 187,000 pengikut dan menurut Mek Yun, dia berkongsi koleksi video pendek di TikTok dan Instagram bertujuan memotivasikan golongan belia terutama pelajar.

“Saya mahu pelajar bijak membahagi masa sekiranya mereka ingin berjaya dalam pelajaran.

"Kerana itu, saya kongsi sedikit motivasi dan kata-kata semangat buat mereka melalui laman sosial tersebut,” katanya yang kerap memuat naik video mengandungi mesej bermanfaat di TikTok dan Instagram.

Sepanjang bergelar pelajar di UTHM, Mek Yun berusaha menyusun masa dengan sebaiknya agar pengajiannya berjalan lancar.

“Saya tidak mahu abaikan tanggungjawab sebagai pelajar walaupun pada ketika itu saya aktif sebagai Digital Content Creator,” katanya yang pernah mendapat keputusan 4 Flat dan menerima beberapa anugerah emas dan perak ketika menyertai pertandingan bertemakan penyelidikan dan inovasi.

Akhir sekali, Mek Yun menitipkan sedikit pesanan kepada bakal graduan agar tidak belajar di saat akhir bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam semua subjek.

“Rancang dahulu jadual harian supaya kita lebih bersedia dan jika tidak faham tentang sesuatu topik, teruslah bertanya kepada pensyarah dan rakan-rakan,” jelasnya.

Istiadat Konvokesyen ke-21 UTHM yang berlangsung di Dewan Sultan Ibrahim, kampus induk pada kali ini menyaksikan seramai 4,485 graduan pelbagai peringkat pengajian menerima sijil masing-masing.

Artikel berkaitan 

Jangan ambil mudah! Mohon murid pakai topi keledar ketika pergi dan pulang dari sekolah

Mengapa murid asyik main game? Nah, ini 13 faktor yang buat mereka leka dan abaikan pelajaran

7 kriteria pemarkahan inovasi atau produk yang perlu guru ambil tahu. Penting!


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok