ukm4
ukm4

Semarakkan budaya inovasi dan kreativiti UKM tidak terkecuali

webadmin
29 Dec 2021 10:01am
A
A
A

Pembudayaan inovasi dan kreativiti dalam kalangan murid-murid hari ini semakin rancak dilakukan dalam usaha melahirkan modal insan yang mempunyai minda kelas pertama.

Sehubungan itu tidak hairanlah sekiranya pelbagai agensi mahupun institut pengajian tinggi (IPT) berusaha melaksanakan pelbagai program yang melibatkan inovasi sepanjang cuti sekolah.

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), melalui Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, tidak terkecuali untuk terlibat sama memeriahkan lagi musim cuti persekolahan kali ini.

Menganjurkan Mendidik Generasi Muda Berinovasi melalui Modul Microbit, program jangka panjang ini telah bermula pada penghujung Mei lalu.

Menurut Ketua Projeknya, Profesor Madya Ir Dr Nasharuddin Zainal, aktiviti tersebut yang melibatkan murid-murid sekolah rendah merupakan program yang memberi peluang dan pendedahan kepada aktiviti dan teknologi terkini yang selari dengan keperluan revolusi industri 4.0 (IR 4.0).

Nasharuddin Zainal

Tambah beliau, Mendidik Generasi Muda Berinovasi melalui Modul Microbit merupakan satu inisiatif kumpulan CRYsTal@UKM yang bertujuan memberi pendedahan serta pembangunan kemahiran juga pengetahuan lanjutan dalam  Sains dan Teknologi untuk murid-murid sekolah serta melatih pelajar universiti mempraktikkan ilmu yang dipelajari untuk masyarakat.

“Hari ini kreativiti semasa proses pembelajaran  tidak boleh dinafikan kerana inovasi kini menjadi tanda aras global.

“Untuk itu kami merancang sesuatu yang amat berguna untuk murid-murid bukan sahaja pada cuti sekolah malah ia merupakan proses pembelajaran sepanjang masa.

“Ini kerana program-program yang melibatkan inovasi ini tidak cukup sekiranya ia diadakan di dalam tempoh yang singkat kerana mereka (murid-murid) perlu menghasilkan sesuatu yang mereka pelajari,” ujarnya.

Bercerita lebih lanjut mengenai program tersebut, katanya, kali ini ia melibatkan dua buah sekolah di Kajang iaitu Sekolah Kebangsaan Sungai Kantan dan Sekolah Rendah Islam Al-Amin Sungai Tangkas.

Mengetengahkan konsep mentor-mentee, Nasharuddin menjelaskan setiap sekolah melibatkan 20 hingga 30 pelajar yang berada di Tahun Empat dan Lima bersama pelajar universiti juga pensyarah.

Program mentor-mentee yang dilaksanakan melalui Mendidik Generasi Muda Berinovasi melalui Modul Microbit dilihat mampu menyuntik minat mengenai bidang Sains dan Kejuruteraan dalam kalangan murid-murid sekolah.

“Program ini yang dijangka berakhir pertengahan bulan Februari tahun depan, akan diteruskan dan dikembangkan kepada lebih ramai murid-murid supaya dapat memberi manfaat kepada dunia akademik.

“Lagipun kami dapati kurangnya minat murid-murid dalam mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang amat dirasai oleh pihak sekolah dan seterusnya berlanjutan hingga ke peringkat universiti.

“Untuk itu, segala inisiatif ini adalah bertujuan memberikan pendedahan tentang Microbit kepada murid-murid sekolah dengan menggunakan modul pengajaran sedia ada melalui beberapa bengkel latihan,” tuturnya lagi.

Yang pasti katanya, program sebegini dapat mewujudkan satu platform untuk murid sekolah meneroka alam teknologi di luar bilik darjah dan mencabar minda mereka supaya boleh memikirkan bagaimana inovasi dalam Sains dan Teknologi boleh memudahkan kehidupan seharian mereka dan msyarakat sekeliling.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok