Tak dapat konvo seperti orang lain, Muhammad Rosli reda ujian ALLAH
Tak dapat konvo seperti orang lain, Muhammad Rosli reda ujian ALLAH

Tak dapat konvo seperti orang lain, Muhammad Rosli reda ujian ALLAH

Roshlawaty Md Raieh
12 Jun 2022 08:09pm
A
A
A

Jika diberi peluang, sudah tentu tiada siapa pun dalam kalangan kita mahu diuji. Namun sekiranya ujian tersebut telah ditetapkan oleh ALLAH, mahu atau tidak, kita harus menerimanya dengan hati terbuka, bersabar dan tabah.

Bagi Rosnah Mahmood, 53, kejayaan suami tercinta yang berjaya menamatkan pengajian di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) baru-baru ini pastinya membanggakan keluarga namun siapa sangka, suaminya itu tidak dapat mengikuti majlis konvokesyen disebabkan lumpuh.

Suami Rosnah, Muhammad Rosli Muhammad Dani, 57 merupakan graduan jurusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Teknik dan Vokasional (Menengah).

Beliau yang lumpuh sejak beberapa tahun lalu tidak dapat hadir ke majlis yang cukup bermakna ekoran kesihatan yang tidak mengizinkan.

Menurut Rosnah, suaminya merupakan seorang guru yang pernah berkhidmat di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor.

Namun keseluruhan badannya menjadi lumpuh akibat tekanan darah tinggi pada bulan Julai 2019.

Kongsi Rosnah lagi, kejadian tersebut berlaku ketika suaminya baru sahaja selesai menunaikan solat.

“Saya rasa tidak sedap hati dan mencarinya di dalam bilik.

“Saya terkejut apabila melihat dia terbaring kaku dengan mata yang masih berkedip ketika ditemui dibilik.

“Tanpa berlengah, kami sekeluarga terus membawanya ke hospital sebelum dia disahkan terkena strok,” katanya sebak.

Ditanya mengenai pengajian suaminya di UTHM, Rosnah berkata, Muhammad Rosli seorang yang begitu komited dengan tugas sebagai Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid.

“Walaupun beliau sudah ada kerjaya, namun dirinya tetap mahu menyambung pengajian peringkat sarjana muda secara sambilan di universiti.

“Sibuk macam mana sekalipun, beliau akan tetap belajar sambil mengajar. Itulah semangat yang suami miliki hingga buat kami semua kagum,” jelas Rosnah.

Rosnah baru-baru ini telah menerima skrol daripada Naib Canselor UTHM, Profesor Ts Dr Ruzairi Abdul Rahim sebagai mewakili suami yang telah berjaya menamatkan pengajian.

Walaupun tidak dapat naik ke pentas, Rosnah sekeluarga reda dan pasrah dengan apa berlaku.

“Sehingga kini saya dan ahli keluarga masih mengharapkan kesembuhan buat suami dengan mencuba pelbagai ikhtiar.

“Mohon doa daripada semua agar suami saya sembuh dan mampu jalani kehidupan seperti sedia kala,” ujarnya.

Artikel berkaitan 

“Kami sayang cikgu, sayang sangat-sangat”- Persaraan Cikgu Ya undang sebak

Mahu menjadi Pakar Bedah? Ini 7 gabungan yang perlu pelajar ada

Inspirasi ramai! Pelajar 10A+ SPM kongsi rahsia kejayaan untuk calon peperiksaan tahun ini


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok