Walau diuji dengan penyakit misteri, Fatini tetap raih 9A SPM, diterima masuk UniMAP
Walau diuji dengan penyakit misteri, Fatini tetap raih 9A SPM, diterima masuk UniMAP

Walau diuji dengan penyakit misteri, Fatini tetap raih 9A SPM, diterima masuk UniMAP

Roshlawaty Md Raieh
13 Oct 2022 03:12pm
A
A
A

Setiap manusia pasti akan diuji oleh ALLAH. Ada yang diuji dengan penderitaan sakit, kehilangan, masalah kewangan, tekanan perasaan dan sebagainya.

Ujian yang menimpa sebenarnya bukanlah satu bebanan. Sudah pasti akan ada hikmah yang tersembunyi dari Sang Pencipta.

Bagi pelajar baharu Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), sidang akademik 2022/2023, Noor Fatini Aina Md Noor, 24, ujian yang dilalui kini dianggap sebagai tanda kasih sayang ALLAH kepada dirinya.

Fatini yang kini diduga dengan penyakit misteri sehingga menyebabkan kehilangan suara dan tidak mampu bercakap, memasang harapan tinggi agar dapat meneruskan pengajian Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik di UniMAP dengan sebaik yang mungkin.

Menurut cerita ibunya, Fatimah Abu Khari, 58, Fatini mula mengalami masalah bercakap sejak berusia 13 tahun apabila diserang penyakit misteri yang hanya bermula dengan sakit dada.

Mereka sekeluarga telah membawa Fatini mendapatkan rawatan namun pakar tidak dapat menemui punca penyakit tersebut.

Hal berkenaan menyebabkan Fatini tidak dapat meneruskan persekolahan selama tiga tahun. Bagaimanapun, dia tidak pernah berputus asa dan sentiasa bersemangat untuk belajar walaupun secara sendirian.

Ujar Fatimah lagi, anaknya adalah seorang yang rajin mengulang kaji pelajaran dan mempunyai semangat tinggi untuk mencipta kejayaan dalam peperiksaan.

“Kerana semangat itu, Fatini berjaya memperolehi keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2017 iaitu 9A walaupun tidak dapat bersekolah sejak 2013 hingga 2016,” katanya selepas Majlis Taklimat Waris sempena Minggu Suai Kenal Ijazah Sarjana Muda Sidang Akademik 2022/2023 di Dewan Ilmu, Kampus Alam, UniMAP.

Tambah Fatimah, kejayaan 9A dalam SPM 2017 itu membolehkan Fatini menyambung pengajian peringkat Diploma Kejuruteraan Elektrik, UniMAP dan sekarang, Fatini berjaya mengikuti pengajian di peringkat ijazah pula di universiti yang sama.

Fatimah berkata, dia bersyukur Fatini kemudiannya berjaya mendapat tawaran ke UniMAP dalam Diploma Kejuruteraan Elektrik sebelum menyambung pengajian ke peringkat Ijazah dalam bidang sama pada hari ini.

Mengulas lanjut, Fatimah berkata, anaknya tidak pernah berasa rendah diri walaupun diuji dengan ujian sedemikian.

“Sebagai ibu, saya bangga dengan semangat dan sikap yang ditunjukkan oleh Fatini. Dia memang anak yang sangat sempurna di mata saya,” jelasnya dengan menambah Fatini begitu meminati subjek Matematik sehingga ramai kawan-kawannya menjadikan Fatini sebagai sumber rujukan dalam subjek itu.

Sementara itu, Naib Canselor UniMAP, Profesor Ts Dr Zaliman Sauli berkata, pelajar yang berasal dari Gurun, Kedah itu akan ditempatkan di Kolej Kediaman Tuanku Tengku Fauziah dan disediakan dengan kemudahan butang kecemasan sekiranya dia menghadapi sebarang masalah.

“Pihak UniMAP juga akan membantu dari segi bantuan keperluan lain bagi memudahkan pelajar ini dapat meneruskan pengajiannya dengan selesa,” ujarnya seperti dipetik menerusi laman Facebook UniMAP.

UniMAP merekodkan seramai 1,921 pelajar baharu Ijazah Sarjana Muda yang mendaftar ke universiti itu bagi sidang akademik 2022/2023 kali ini.

Artikel berkaitan 

Hadir pendaftaran UM seorang diri dengan motosikal, Lai Kiat mahu balas jasa ayah besarkan adik-beradik

Kekurangan diri bukan penghalang ke menara gading

“Mereka tak mahu ambil saya bekerja kerana diri tidak sempurna” – Luahan hati graduan OKU buat ramai sebak


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok