HomeIPTKekurangan diri bukan penghalang ke menara gading

Kekurangan diri bukan penghalang ke menara gading

Walaupun buta mata disebelah kanan akibat penyakit ‘Sistemik Lupus Eritematosus’ (SLE), Anis Aqilah Za’aba, 21, tetap memasang impian untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Baginya, kekurangan itu tidak harus dijadikan penghalang untuk dirinya menimba ilmu sehingga ke menara gading.

Dek kesungguhan dan doa yang berterusan, akhirnya Anis Aqilah telah ditawarkan menyambung pengajian dalam jurusan Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Berita baik tersebut pastinya disambut dengan penuh kegembiraan oleh anak kelahiran Ipoh, Perak itu.

Menurut Anis Aqilah, Pengurusan Pelancongan merupakan jurusan pilihannya sejak di sekolah menengah lagi.

“Saya tahu diri tidak sempurna namun kekurangan tersebut tidak akan dijadikan alasan untuk tidak berjaya.

“Insya-ALLAH, saya akan buktikan yang diri mampu cemerlang seperti pelajar normal lain,” ujarnya.

Anis Aqilah adalah salah seorang pelajar baharu kategori Orang Kurang Upaya (OKU) yang diterima masuk ke UUM bagi sesi 2022/2023 secara fizikal sepenuhnya, pada Selasa.

Selain beliau, turut terpilih untuk melanjutkan pelajaran ke universiti itu bagi kategori OKU ialah Nur Irdina Fatini Rosli, 20, yang menghidap penyakit ‘Autism Asperger Syndrome’ sejak berusia tiga tahun lagi.

Menurut Nur Irdina, segala persiapan dari segi fizikal dan mental sudah pun dilakukan dan kini dia tidak sabar untuk memulakan pembelajaran dalam jurusan Komunikasi di UUM.

Bagaimanapun kata Nur Irdina, cabaran terbesar pasti akan dilalui oleh dirinya sepanjang melanjutkan pengajian di sini.

“Bila berada di universiti, kita harus berdikari tanpa mendapat bantuan daripada ibu bapa dan juga keluarga.

“Begitulah yang akan saya lalui selepas ini. Harapnya ALLAH akan permudahkan segala urusan,” ujar anak kelahiran Gerik, Perak yang bercita-cita mahu menjadi seorang penyampai radio.

Pelajar Orang Asli turut ke UUM

Selain pelajar OKU yang diterima masuk ke UUM, lapan lagi pelajar daripada masyarakat Orang Asli dari Pahang, Perak dan Negeri Sembilan turut terpilih menyambung pengajian di universiti yang terletak di Sintok, Kedah, itu.

Salah seorang masyarakat Orang Asli dari Jerantut, Pahang, Tuse Intan Ellyana a/p Sulaiman, 20, yang berjaya mengikuti pengajian dalam jurusan Pengurusan Acara berkata, dia terkejut apabila menerima tawaran ke UUM.

“Tergamam dan tidak sangka diterima masuk serta dapat menyambung pengajian dalam jurusan disukai.

“Dengan panggilan ke universiti ini, saya berjanji akan belajar bersungguh-sungguh dan akan buktikan kepada semua orang bahawa Orang Asli juga bijak dan mampu berjaya seperti pelajar lain,” tuturnya.

Sementara itu, Naib Canselor UUM, Profesor Dr Haim Hilman Abdullah berkata, seramai 4,067 pelajar baharu telah mendaftar ke universiti ini bagi sesi 2022/2023.

Mereka terdiri daripada lulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Matrikulasi, Asasi Pengurusan UUM, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan pelajar antarabangsa.

Kumpulan pelajar ini akan mengikuti 47 program pengajian yang ditawarkan di peringkat sarjana muda.

Antaranya Pengurusan Pelancongan, Pengurusan Kerja Sosial, Pengurusan Operasi, Komunikasi dan Sains.

Sehingga Oktober lalu, jumlah keseluruhan pelajar UUM adalah seramai 33,658 orang iaitu 27,732 bagi peringkat pengajian sarjana muda dan 5,926 lagi pascasiswazah.

Artikel berkaitan 

Dura Adibah, pelajar UTHM raih pengiktirafan di Korea atas perkongsian keunikan budaya Malaysia

UMK terima 257 pelajar baharu program Asasi Sains sesi Akademik 2022/2023

Pelajar kerdil lanjutkan pengajian meskipun berstatus OKU, cabar diri untuk berdikari


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok