Terima kasih beri peluang sambung belajar, luah siswazah B40

Rasyidah Zulkifi
08 Jul 2022 03:19pm
A
A
A

“Terima kasih Universiti Malaysia Sabah (UMS) kerana memberi peluang kepada pelajar B40 untuk melanjutkan pengajian di sini,” kata siswazah Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP),  Mohd Zulian Zulkifli, 24, selepas menerima skrol Ijazah Sarjana Muda dalam Program Pengurusan Kewangan dan Perbankan pada Majlis Konvokesyen UMS ke-23.

Pada awalnya, dia tidak menyangka dapat menyambung pengajian di UMS kerana berlatarbelakangkan keluarga yang kurang berkemampuan.

Bapa Mohd Zulian bekerja sebagai nelayan dan buruh kasar, manakala ibunya merupakan suri rumah.

Begitupun, ibunya melakukan aktiviti bercucuk tanam untuk menampung keperluan keluarga kerana pendapatan isi rumah mereka adalah kurang daripada RM1,000 sebulan.

Disebabkan itulah, Mohd Zulian terdorong untuk memanfaatkan sepenuhnya kelulusan yang diperoleh bagi mengubah nasib keluarga.

“Tanpa peluang ini, mungkin impian untuk melanjutkan pengajian dan meraih segulung ijazah hanya sekadar mimpi.

“Saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga atas kesempatan dan bantuan yang diberikan kepada saya sepanjang belajar di sini.

“Dengan segala ilmu, kemahiran dan pengalaman yang didapati sepanjang pengajian, saya akan gunakan ketika bekerja di industri sekali gus bertekad untuk mengeluarkan keluarga daripada kepompong kemiskinan,”  kata anak keempat daripada tujuh beradik itu. 

Graduan yang berasal dari Kinabatangan itu turut memberikan motivasi kepada mahasiswa yang masih berjuang dalam pengajian masing-masing. 

Menurutnya, kesusahan yang dirasai ketika di peringkat menara gading pasti akan membawa kebahagiaan suatu hari nanti.

“Teruskan berusaha kerana kejayaan pasti akan menjadi milik mereka yang tidak mengenal erti berputus asa,” ujarnya. 

Artikel berkaitan 

“Terima kasih cikgu” – Ucapan ringkas tukang kebun sekolah buat ramai warganet rasa sebak!

Siswazah Malaysia kongsi 13 tip peperiksaan di Universiti Al-Azhar, Mesir

MSU lancar inisiatif kesukarelawan, bantu keluarga B40

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok