konovkesyen-polisas
konovkesyen-polisas

“Terima kasih UNITEN” - Graduan cemerlang gagal UPU lega ditawarkan tempat dengan jurusan pilihan

Adlan Farhan AzwanAdlan Farhan Azwan
30 Sep 2022 11:22am

Menerusi tinjauan di laman media sosial, ramai pelajar terpaksa membuat rayuan setelah gagal mendapat tawaran di mana-mana universiti awam (UA) susulan persaingan sengit dan tempat yang terhad seperti yang dimaklumkan Ketua Pengarah Pengajian Tinggi, Datuk Profesor Dr Husaini Omar, baru-baru ini.

Hakikatnya, keadaan ini memberi kesan terhadap motivasi pelajar kerana mereka telah berhempas pulas untuk memperoleh keputusan yang cemerlang bagi memastikan peluang yang tinggi untuk mendapatkan tempat di universiti dan jurusan pilihan.

Baru-baru ini, Sinar Bestari telah melaporkan kisah graduan Diploma Kejuruteraan Mekanikal di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, Pahang, Muhammad Firdaus Lee, 22, yang terkilan dengan sistem Unit Pusat Universiti (UPU) apabila tidak menerima sebarang tawaran tempat di universiti awam (UA) meskipun meraih keputusan cemerlang.

Firdaus Lee bersama rakan-rakannya ketika menghadiri Majlis Konvokesyen POLISAS.

Menurut Firdaus Lee, dia telah membuat rayuan menerusi UPU dan secara terus di beberapa institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

“Dalam masa yang sama, saya juga membuat permohonan di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) kerana mereka ada menawarkan jurusan kejuruteraan mekanikal dengan tajaan di bawah Bright Scholarship.

“Alhamdulillah, permohonan saya berjaya dan turut mendapat tajaan biasiswa oleh pihak UNITEN dan kini sedang menunggu surat tawaran untuk kemasukan pada Oktober,” katanya ketika dihubungi Sinar Bestari.

Firdaus Lee berkata, kepada sesiapa yang menghadapi masalah yang sama sepertinya, jangan berputus asa.

Jelasnya lagi, kegagalan tidak mendapat mana-mana penawaran di UA menerusi UPU bukanlah petanda untuk kita terus berhenti menyambung pengajian.

“Apa yang anda harus lakukan ialah membuat rayuan dan pada masa yang sama meneliti mana-mana penawaran kursus pilihan di universiti-universiti lain.

“Kegagalan saya untuk memasuki Universiti Malaya (UM) seperti yang diimpikan berkemungkinan bukanlah keputusan yang tepat, sebaliknya tuhan sudah menentukan hala tuju yang sebaik-baiknya dan saya percaya kepada hikmah yang berlaku,” ujarnya.

Dalam pada itu, Firdaus Lee turut berkongsi kegembiraan tersebut menerusi satu ciapan di laman Twitternya.

“Saya telah mengambil keputusan untuk melanjutkan pengajian saya dalam Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal di bawah tajaan Bright Scholarship.

“Terima kasih UNITEN untuk peluang ini dan juga kepada semua yang sentiasa memberi nasihat serta sokongan,” tambahnya.

Artikel berkaitan

"3.95 pun tidak dapat UPU” - Pelajar terkilan permohonan UPU tidak berjaya meskipun raih keputusan cemerlang

Persaingan sengit dan tempat terhad, faktor utama 20,000 pelajar gagal ditempatkan di UA

Membanggakan! Inilah senarai 5 pelajar Malaysia yang berjaya menempa nama di universiti luar negara!


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp