Tersenarai 2 peratus Saintis Terbaik Dunia, Norazah kini jadi inspirasi ahli akademik lain
Tersenarai 2 peratus Saintis Terbaik Dunia, Norazah kini jadi inspirasi ahli akademik lain

Tersenarai 2 peratus Saintis Terbaik Dunia, Dr Norazah kini jadi inspirasi ahli akademik lain

Roshlawaty Md Raieh
22 Jun 2022 05:05pm
A
A
A

Profesor Pemasaran dan E-Niaga di Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB), Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Ts Dr Norazah Mohd Suki telah tersenarai dalam ‘World's Top 2% Scientists’ oleh Stanford University, Amerika Syarikat, baru-baru ini.

Dr Norazah yang telah diiktiraf sebanyak tiga kali dalam Stanford University disenaraikan mengikut bidang perniagaan, pengurusan dan sub-bidang pemasaran, selain mendapat pengiktirafan di bawah senarai 'Career-long World’s Top 2% Scientists'.

Kedua-dua pengiktirafan tersebut telah meletakkan UUM pada peta global kecemerlangan penyelidikan saintifik yang membawa kebanggaan kepada universiti dan negara.

“Alhamdulillah, saya amat bersyukur apabila diiktiraf sebagai salah seorang dalam 'World's Top 2% Scientists 2021' dari universiti yang berprestij.

“Sejujurnya saya cukup berbesar hati untuk berada dalam senarai Stanford ini, sebagai pengiktirafan terhadap kerja penyelidikan saya dalam bidang pemasaran dan e-dagang.

“Saya berharap kejayaan ini akan membawa lebih banyak peluang kerjasama dan rangkaian antarabangsa kelak,” katanya yang berkongsi pengiktirafan itu diharapkan dapat menjadi inspirasi kepada semua pensyarah sekali gus membuktikan tiada yang mustahil jika terus bekerja keras dan sentiasa menerbitkan jurnal berimpak tinggi.

Dr Norazah telah menerbitkan lebih 300 kertas kerja dengan SCOPUS h-indeks sebanyak 28 dan ‘World's Top 2% Scientists’ mengiktiraf mereka yang berjaya menghasilkan banyak sitasi dalam pelbagai disiplin.

Senarai Saintis Terbaik Dunia itu telah disusun oleh Profesor John Ioannidis dan pasukan Stanford University yang mengumpul pelbagai bahan termasuk data piawai mengenai ‘citations, h-index, co-authorship-adjusted hm-index, citations to papers in various authorship positions’ dan ‘a composite indicator’.

Lebih 160,000 saintis telah dikelaskan dalam 22 bidang saintifik dan 176 sub-bidang.

Sementara itu, Naib Canselor UUM, Profesor Dr Haim Hilman Abdullah mengucapkan setinggi-tinggi tahniah di atas kejayaan Dr Norazah kerana berjaya membawa nama universiti tersebut ke pentas dunia seterusnya menjadi sumber inspirasi kepada ahli akademik yang lain.

“Saya berharap pencapaian ini dapat menjadi contoh kepada para pensyarah dan menunjukkan tiada yang mustahil jika kita terus berusaha dan menerbitkan secara berterusan jurnal yang bagus.

“Seluruh warga universiti bangga dan gembira dengan pencapaian Dr Norazah. Sekurang-kurangnya, pengiktirafan di peringkat global ini dapat memberi peluang kepada universiti untuk meningkatkan keterlihatan UUM pada peringkat antarabangsa,” katanya.

Artikel berkaitan 

Penyelidik Biosains cadang tepung ubi gadong jadi alternatif ketika krisis tepung gandum

UUM tersenarai 148 universiti terbaik Asia

17 penyelidik gembleng tenaga kenal pasti simptom awal keciciran murid


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok