1115961
1115961

Tip langsai hutang PTPTN dalam masa singkat, graduan boleh cuba cara ini

Rasyidah ZulkifiRasyidah Zulkifi
15 Feb 2022 05:57pm

Sebilangan graduan institusi pengajian tinggi (IPT) masih ada yang belum menyelesaikan baki pinjaman pendidikan yang dibuat dengan Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN).

Mahu tidak mahu, mereka harus menjelaskan hutang tersebut apabila sudah mempunyai kerjaya kelak.

Ada sesetengah graduan yang mempunyai niat untuk melangsaikan pinjaman PTPTN dalam masa singkat, namun mereka tidak tahu caranya.

Oleh itu, Sinar Bestari tertarik dengan perkongsian dari portal ilabur mengenai tip melunaskan hutang PTPTN dalam jangka masa singkat yang mungkin sesuai diikuti oleh graduan sekalian.

#1 Keluarkan wang KWSP

Jika graduan sudah bekerja, sudah tentu anda akan menikmati potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Tahukah anda, wang KWSP dalam akaun dua boleh digunakan untuk membayar hutang PTPTN.

Melalui kaedah ini, graduan akan berasa kurang beban kerana anda menggunakan simpanan daripada titik peluh sendiri tanpa bantuan orang lain.

Untuk makluman, pengeluaran akaun dua ini boleh digunakan untuk bayaran tertentu sahaja dan wang tidak boleh dibelanjakan sewenang-wenangnya.

Baca juga:

PTPTN sasar RM1.8 bilion kutipan deposit SSPN tahun ini

Dana pendidikan RM1 juta, PTPTN umum pemenang peraduan

Sementara itu, antara kelebihan yang graduan akan perolehi termasuklah tiada caj pemprosesan, tiada had pengeluaran selagi masih mempunyai baki dalam akaun dua dan anda akan menikmati penjimatan kos upah, pentadbiran dan pemendekan tempoh bayaran balik.

#2 Tabungan simpanan ASB

Pelaburan dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) ini memerlukan graduan bersikap semangat kuat menabung.

Lazimnya, akaun ASB ini didaftarkan oleh ibu bapa masing-masing sejak dari sekolah rendah lagi.

Kredit foto: Sinar Harian

Ini kerana, ada ibu bapa yang gemar menyimpan duit raya anak mereka ke dalam akaun pelaburan ini.

Setiap tahun, dividen yang diperolehi agak lumayan dan boleh disalurkan untuk pembayaran PTPTN.

Bayangkan, jika graduan memang konsisten membuat bayaran balik kepada PTPTN setiap bulan, tidak mustahil anda boleh melunaskan hutang PTPTN kurang daripada lima tahun.

Contohnya, anda berhutang sebanyak RM28,000 dengan PTPTN. Dengan gaji yang ada, anda asingkan RM500 untuk membayar ansuran PTPTN sebanyak RM150 dan baki RM350 disimpan ke dalam akaun ASB.

RM150 yang dibayar pada setiap bulan ini telah membantu anda menjelaskan hampir RM9,000 daripada jumlah keseluruhan.

Manakala, RM350 dalam akaun ASB selama lima tahun pula menyumbang kepada pelaburan sebanyak RM21,000.

Hasilnya, dalam tempoh lima tahun sahaja anda telah berjaya menyelesaikan hutang PTPTN, malah, graduan boleh menikmati dividen ASB yang anda kumpul pada setiap tahun itu dengan kadar lima peratus ke tujuh peratus bersamaan dengan wang tambahan RM1,000 hingga RM1,500.

#3 Simpanan ketika menuntut di IPT

Graduan sebenarnya boleh merancang perbelanjaan kewangan ketika anda masih belajar lagi, atau langkah ini boleh dijadikan panduan kepada adik-adik yang mendapat pinjaman PTPTN dan masih belajar di IPT.

Jika graduan mendapat keputusan cemerlang ijazah kelas pertama, anda tidak perlu fikir tentang bayaran semula PTPTN.

Namun, jika rezeki tidak menyebelahi anda dari segi pelajaran, graduan perlu berjimat-cermat dan mengurus kewangan dengan bijak. Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian.

#4 Cari pendapatan sampingan

Bagi sesetengah pelajar IPT yang menuntut di kolej atau universiti swasta, kos sara hidup mereka pasti yang tinggi.

Oleh sebab itu, pinjaman mereka juga tinggi. Jadi, walaupun sudah tamat belajar, graduan perlu kreatif mencari pendapatan sampingan supaya hutang PTPTN dapat diselesaikan dalam masa singkat.

Antara pekerjaan sampingan yang boleh dilakukan ialah menjadi ejen produk, bekerja di pasar raya dan terlibat dalam ekonomi gig seperti penghantaran makananan.

Jika graduan sudah mempunyai kerja tetap, anda masih boleh melakukan pekerjaan tersebut secara sambilan.

#5 Rebut inisiatif bayaran balik PTPTN

PTPTN menggalakkan usaha bayaran balik kepada para peminjam dengan menyediakan beberapa tawaran menarik yang wajar direbut, seperti;

  • Diskaun 10 peratus bagi bayaran minimum 50 peratus daripada jumlah pinjaman dengan sekali bayaran.
  • Diskaun 10 peratus bagi bayaran secara potongan gaji berjadual.
  • Diskaun 15 peratus bagi penyelesaian penuh hutang PTPTN

Kesimpulannya, jika graduan berkemampuan untuk membayar hutang, khususnya hutang PTPTN, anda perlu berbuat demikian supaya nama tidak disenarai hitam.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ini juga penting demi kelangsungan pembiayaan pendidikan kepada generasi yang akan datang.

Sumber: ilabur

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp