usm-ashri-konvokesyen
usm-ashri-konvokesyen

Tumpangkan graduan ke konvokesyen, USM beri penghargaan buat Ashri

Adlan Farhan Azwan
01 Jun 2022 05:39pm
A
A
A

Individu yang menjadi 'penyelamat' kepada graduan Universiti Sains Malaysia (USM) sehingga berjaya hadir ke majlis konvoksyen baru-baru ini menerima penghargaan daripada pengurusan tertinggi universiti itu.

Ashri Haya, 50, penunggang motosikal yang menumpangkan graduan, Kevin Rayappan, 28, telah dijemput khas ke Dewan Tuanku Syed Putra pada hari terakhir Upacara Konvokesyen ke-59 USM dan berkesempatan beramah-mesra dengan pengurusan tertinggi universiti itu.

Ashri yang juga merupakan kontraktor perkhidmatan pencucian di universiti itu berkata, dia amat terharu dengan penghargaan yang diberikan dan langsung tidak menyangka bantuan yang dianggapnya kecil itu membawa makna yang cukup besar buat ramai pihak.

“Ketika kejadian, saya dalam perjalanan ke tempat kerja. Kebetulan saya memang menyelia kerja-kerja pencucian di USM dan saya nampak graduan berkenaan terdesak mendapatkan pertolongan kerana dia tidak henti-henti menahan penunggang motosikal.

“Disebabkan saya nampak jubah yang dipegangnya sama seperti jubah konvokesyen USM, saya sanggup tumpangkannya kerana simpati dan faham keadaan panik yang dialami olehnya,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.

Tambahnya lagi, kesesakan jalan pada ketika itu agak teruk dan dia sempat melihat ada di antara pengguna Jambatan Pulau Pinang terpaksa bersarapan dalam kereta, keluar dari kenderaan mengambil angin dan sebagainya.

Ashri juga tidak menyangka kisahnya menjadi tular kerana dia terus menyambung kerja hariannya seperti biasa selepas menumpangkan graduan berkenaan, sehinggalah keesokan harinya rakan di tempat kerja menunjukkan berita berkaitan dirinya yang mendapat liputan meluas media.

Baru-baru ini, tular kisah mengenai Kevin yang terperangkap dalam kesesakan luar biasa di Jambatan Pulau Pinang sehingga memaksa graduan berkenaan menahan penunggang motosikal yang sudi menumpangkannya ke upacara konvokesyen USM.

Hasrat Kevin tercapai apabila ada seorang insan yang sudi menumpangkannya sehingga ke USM untuk meraikan kejayaan menamatkan pengajian dalam jurusan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan bersama rakan-rakan.

Dalam pada itu, Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata, pihaknya menghargai jasa baik Ashri dalam membantu graduan USM dan menyifatkan nilai murni itu perlu ada dalam setiap individu.

“Walaupun pertolongannya nampak kecil, tetapi kesanggupan Ashri menghulur bantuan di saat insan lain sangat memerlukan perlu dijadikan contoh oleh semua pihak,” jelasnya.

Pendaftar USM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja Upacara Konvokesyen Ke-59 USM, Datuk Dr Musa Ali turut merakamkan penghargaan kepada Ashri dan menggambarkan keprihatinan yang ditunjukkan turut memberi kesan kepada sebilangan besar masyarakat.

Artikel berkaitan

Terperangkap dalam kesesakan, graduan USM tumpang motosikal untuk hadir ke majlis konvokesyen

Penerima Anugerah Pingat Emas Canselor USM tetap kuat walaupun diuji dengan pemergian bapa ketika hadapi peperiksaan

USM terus jadi destinasi pilihan pelajar antarabangsa


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok