312805981_493875962778692_3193702855425826373_n
312805981_493875962778692_3193702855425826373_n

UIAM, UM rangkul kejuaraan Debat Diraja IPT 2022

Adlan Farhan Azwan
25 Oct 2022 09:32am
A
A
A

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Malaya (UM) mempamerkan kehebatan masing-masing apabila berjaya dinobatkan sebagai johan Debat Diraja Antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang berlangsung di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), baru-baru ini.

UIAM berjaya mengungguli kategori Bahasa Melayu manakala UM pula menjuarai kategori Bahasa Inggeris.

Kejayaan tersebut membolehkan kedua-dua IPT itu membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 bersama piala dan sijil.

Pasukan UIAM dibarisi oleh Nur Syahirah Balqis Shahrulnizam, 20; Muhamad Ilham Hafiz Azmi, 22; Muhammad Luqman Ismail Zawawi, 22; dan Muhammad ‘Aqil Mujahid Mukhtar, 21, manakala pasukan UM pula terdiri daripada R Kuhan Karttikeyn, 21; A Danesh Ram, 24; Muhyuddin Ahsan Sultan Askin, 20; dan Catherine Alicia Nathan, 22.

Sultanah Nur Zahirah menyampaikan hadiah kepada pasukan UM yang dinobatkan sebagai Naib Johan kategori Bahasa Inggeris. Kredit foto: Facebook Kementerian Pengajian Tinggi.

Menurut Ilham Hafiz yang turut dinobatkan sebagai pendebat terbaik akhir, dia tidak menyangka pasukannya berjaya meraih kemenangan sekali gus mengulangi kejayaan pada 2019 dan 2021.

Jelasnya, pertandingan kali ini amat sukar kerana mereka berempat mendapat saingan hebat pendebat IPT lain yang menampilkan hujah yang baik.

“Saya bersyukur dapat membantu UIAM mempertahankan kejayaan hatrik selepas tidak bertanding pada 2020 akibat pandemik.

Ilham Hafiz mempamerkan kehebatan apabila berjaya merangkul gelaran pendebat terbaik akhir. Kredit foto: Kementerian Pengajian Tinggi.

“Lebih menggembirakan, kejayaan ini merupakan kali yang ketiga saya secara peribadi dalam pertandingan ini,” katanya ketika selesai upacara penyampaian hadiah kepada pemenang oleh Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah di UniSZA.

Dalam pada itu, naib johan diraih oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi kategori bahasa Melayu manakala Universiti Teknologi Mara (UiTM) pula bagi kategori bahasa Inggeris dan masing-masing membawa pulang wang tunai RM3,000, piala iringan beserta sijil penghargaan.

Sebanyak 53 pasukan dari 24 IPT di seluruh negara menyertai pertandingan debat tersebut yang diadakan secara dalam talian bagi pusingan awal sebelum secara bersemuka bagi pusingan separuh akhir dan akhir.

Pertandingan yang mula diperkenalkan pada tahun 1995 dengan format debat ala parlimen merupakan medan untuk membudayakan amalan berfikir secara kritis dan analitikal dalam kalangan mahasiswa tempatan.

Artikel berkaitan

Pasukan debat UPM bawa pulang gelaran juara dan pendebat terbaik. Apa rahsia mereka?

Status OKU bukan halangan Muhammad Isa lanjutkan pengajian di UIAM

Hadir pendaftaran UM seorang diri dengan motosikal, Lai Kiat mahu balas jasa ayah besarkan adik-beradik


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok