Pasukan debat UPM bawa pulang gelaran juara dan pendebat terbaik. Apa rahsia mereka?
Pasukan debat UPM bawa pulang gelaran juara dan pendebat terbaik. Apa rahsia mereka?

Pasukan debat UPM bawa pulang gelaran juara dan pendebat terbaik. Apa rahsia mereka?

Roshlawaty Md RaiehRoshlawaty Md Raieh
23 Jul 2022 01:57pm

Pertandingan Debat Nuklear 2020 yang berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 28 Jun lalu menyaksikan pasukan debat Universiti Putra Malaysia (UPM) dinobatkan sebagai juara.

Bukan itu sahaja, pasukan ini turut diberikan anugerah Pendebat Terbaik melalui Nur Ain Aqilah Rosli iaitu pelajar Bacelor Sains Statistik Dengan Pendidikan, Fakulti Sains, UPM.

Pasukan yang turut dibarisi tiga lagi pendebat hebat iaitu Muhammad Hakim Nor Zamani (pelajar Bacelor Sains Bioperubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan), Iskandar Zikry Zakaria (pelajar Bacelor Pendidikan Bimbingan Dan Kaunseling, Fakulti Pengajian Pendidikan) dan pendebat simpanan Muhammad Alif Mohd Roaim (pelajar Bacelor Sains Fizik Dengan Pendidikan, Fakulti Sains) membawa pulang piala pusingan, wang tunai RM3,000 dan sijil pencapaian.

Nur Ain Aqilah ketika ditemui berkata, kejayaan merangkul anugerah Pendebat Terbaik akan dijadikan sebagai titik permulaan untuk menempa nama dalam dunia pengucapan awam.

“Syukur dan sangat gembira dengan rezeki yang diberikan oleh ALLAH ini.

“Jika diberi peluang lagi, saya berharap pasukan debat UPM akan terus meraih pelbagai anugerah dan kejayaan dalam apa jua pertandingan diceburi kelak,” katanya yang membawa pulang plak, sijil kemenangan dan hadiah iringan serta cenderahati.

Nur Ain Aqilah memberitahu, rahsia kejayaan mereka sama seperti pasukan-pasukan lain yang menyertai pertandingan berprestij seperti ini.

“Kami sentiasa bekerjasama dalam apa jua yang ingin dilakukan untuk kebaikan pasukan. Malah, setiap ahli kumpulan mesti memainkan peranan yang optimum dan perlu luangkan masa menghadiri perbincangan bagi memantapkan lagi hala tuju pasukan debat ini,” ujarnya.

Pada pertandingan tersebut, pasukan debat UPM sebagai ‘kerajaan’ telah bertemu dengan pasukan dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sebagai ‘pembangkang’ dengan usul perdebatan ‘Bebas Karbon 2050: Sudah Tiba Masanya Malaysia Mengimplimentasikan Loji Jana Kuasa Nuklear’.

USIM muncul naib johan dan membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 dan sijil pencapaian.

Pertandingan yang berlangsung selama tiga hari itu dianjurkan Fakulti Sains dan Teknologi, UKM dengan rakan kerjasama agensi pelaksana iaitu Agensi Nuklear Malaysia dan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB).

Turut hadir memeriahkan pertandingan adalah Ketua Pengarah AELB, Raja Abdul Aziz Raja Adnan, Timbalan Ketua Pengarah AELB, Noraishah Pungut dan Pengarah Bahagian Pengurusan Maklumat Agensi Nuklear Malaysia, Habibah Adnan.

Artikel berkaitan 

Pengetua Cemerlang ingatkan ‘jangan pandang remeh aktiviti menyalin murid’

7 kriteria pemarkahan inovasi atau produk yang perlu guru ambil tahu. Penting!

Alumni kibar bendera universiti di puncak tertinggi dunia, jayakan misi UPM di Puncak Dunia@Everest


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp