UMK terima 257 pelajar baharu program Asasi Sains sesi Akademik 2022/2023
UMK terima 257 pelajar baharu program Asasi Sains sesi Akademik 2022/2023

UMK terima 257 pelajar baharu program Asasi Sains sesi Akademik 2022/2023

Roshlawaty Md Raieh
13 Aug 2022 09:38am
A
A
A

Seramai 257 pelajar baharu program Asasi Sains mendaftar di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Kampus Jeli bagi sesi Akademik 2022/2023, baru-baru ini.

Ketua Jabatan Persediaan Sains UMK, Dr Marinah Muhammad berkata, kemasukan pelajar itu terdiri daripada 87 peratus aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) A, enam peratus STEM B dan dua peratus aliran Kemanusiaan dan Sastera Ikhtisas (KSI).

Tambah beliau, sebanyak 1,112 penawaran dibuat kepada pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi mengikuti program Asasi Sains UMK pada tahun ini.

Penawaran itu meningkat 100 peratus daripada tahun lalu bagi memberi peluang lebih ramai lepasan SPM mengikuti program berkenaan.

“Syukur alhamdullilah, unjuran yang disasarkan oleh UMK untuk program ini telah dipenuhi sebanyak 87 peratus selepas pendaftaran pelajar 31 Julai lalu.

“Unjuran kali ini adalah tiga kali ganda daripada bilangan unjuran pada 2021 berikutan sambutan yang amat memberangsangkan tahun ini.

“Kerana populariti program-program tersebut, maka UMK merancang menambah lagi unjuran ambilan pelajar pada tahun hadapan bagi memberi peluang lebih ramai lepasan SPM mengikuti program Asasi Sains ini,” katanya.

Marinah turut memberitahu, pelajar baharu program Asasi Sains UMK ini merupakan kohort ke-11 dengan nama asalnya ialah Program Persediaan Keusahawanan Sains UMK yang telah dijalankan di Kolej MARA Kulim bermula tahun 2011 hingga 2019.

Jelas beliau, program Asasi Sains UMK mula ditawarkan pada 2021 di UMK Kampus Jeli sebagai usaha meneruskan penawaran program akademik universiti terbabit.

“Program Asasi Sains UMK adalah program unik yang dilihat mampu melahirkan bakal pelajar berpengetahuan dalam bidang sains dan mempunyai kemahiran tinggi terhadap bidang keusahawanan.

“Berdasarkan gabungan mantap subjek sains dan keusahawanan, pelajar akan dapat memenuhi keperluan untuk diserapkan ke program Ijazah Sarjana Muda Bidang Sains dan Verterinar di UMK,” katanya.

Mengulas lanjut, Marinah menjelaskan, pelajar yang mengikuti program tersebut juga akan mendapat pendedahan awal tentang pembelajaran dalam ekosistem keusahawanan di UMK seawal pengajian diperingkat persediaan lagi.

“Tidak dinafikan, program Asasi Sains UMK tersenarai sebagai program asasi paling popular di Malaysia berdasarkan bilangan permohonan yang diterima UPU pada tahun lalu.

“Sehubungan itu, saya sangat berharap semua pelajar program dapat memanfaatkan segala peluang dan gali sebanyak mungkin ilmu sepanjang belajar di universiti ini,” ujarnya.

Artikel berkaitan 

UTHM rai alumni antarabangsa dan bakal pelajar di Batam 

Enggan kecewa sekali lagi, Izz Khalisa bangkit dan akhirnya muncul pelajar cemerlang SPM 2021 

Guru SK Rumbia buat kejutan. Sepakat bermesyuarat di dalam kereta api, kreatif sungguh! 


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok