umt pelancongan global
umt pelancongan global

UMT anjur persidangan pelancongan global secara dalam talian

webadmin
29 Dec 2021 11:41am
A
A
A

TERENGGANU - Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial (FPEPS) telah menganjurkan Global Tourism Conference 2021 (GTC2021) secara dalam talian baru-baru ini.

Penganjuran kali pertama ini telah mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta tempatan dan antarabangsa serta mendorong FPEPS untuk menganjurkan persidangan GTC buat kali kedua.

Diadakan secara bersama dengan Kerajaan Negeri Terengganu dan Victoria University, Australia, persidangan ini mengkhususkan kepada bidang Pelancongan dan Hospitaliti.

Mengetengahkan tema ‘Tourism Innovation and Digitalisation: A New Way in Redesigning Tourism Landscape’, persidangan antarabangsa kali kedua ini melibatkan 81 kertas kerja daripada peserta pusat pengajian tinggi tempatan dan luar negara.

Pemilihan tema ini juga untuk memfokuskan perbincangan memacu kelangsungan industri pelancongan negara yang terjejas teruk sepanjang tempoh pandemik Covid-19 melanda negara.

Keperluan kepada pemikiran reka bentuk semula pelancongan baharu adalah salah satu usaha penting daripada pihak penganjur persidangan bagi mengembalikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan terpilih utama di peringkat global melalui inovasi pelancongan secara digitalisasi bagi memangkin industri pelancongan untuk bangkit semula mendepani kesan pandemik.

Persidangan ini turut mendapat penyertaan menggalakkan daripada peserta antarabangsa terdiri daripada negara Australia, Portugal, Thailand, Jepun, Nigeria, Saudi Arabia, Vietnam dan Indonesia.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok