UMT jayakan World Oceans Week sebagai tanda sokongan terhadap kempen
UMT jayakan World Oceans Week sebagai tanda sokongan terhadap kempen

UMT jayakan World Oceans Week sebagai tanda sokongan terhadap kempen

Roshlawaty Md Raieh
14 Sep 2022 06:12pm
A
A
A

Membawakan tema ‘Dunia di Bawah Laut: Cerita Dari Laut China Selatan’, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sekali lagi tampil menjayakan World Oceans Week (WOW) sebagai tanda sokongan terhadap kempen ‘World Oceans Day’ (WOD) yang disambut pada 8 Jun setiap tahun.

Matlamat utama WOD adalah membentuk kesatuan dalam menghargai sumbangan lautan kepada manusia dan alam serta dalam masa sama membentuk tindakan bersama memelihara lautan bagi masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang.

Naib Canselor UMT, Profesor Datuk Dr Mazlan Abd Ghaffar berkata, sambutan WOW peringkat UMT baru-baru ini, telah bermula di Pantai Batu Buruk, Terengganu.

Kemudian, sambutan diteruskan lagi melalui Pusat Rujukan & Repositori (RRC) Laut China Selatan, INOS.

“RRC@INOS Open Day 2022 memberi peluang kepada komuniti dan para pelajar untuk sama-sama menerokai ‘Dunia Di Bawah Laut’.

“Ia diwujudkan untuk melengkapkan proses ingin tahu, penemuan dan pembelajaran tentang persekitaran marin melalui pengurusan spesimen dan pemindahan ilmu yang diperolehi dari spesimen yang dikaji oleh para penyelidik.

“Dari segi sejarah, RRC telah ditubuhkan sebagai Muzium Biodiversiti pada tahun 2004,” jelas beliau.

Tambah Dr Mazlan, sebagai sebuah universiti yang mempunyai bidang tujahan dalam sains marin dan sumber akuatik, penyelidikan, pembentukan pengetahuan baru, pemindahan serta perkongsian ilmu di UMT sememangnya berkait rapat dengan persekitaran dan ekosistem akuatik.

“Para pensyarah, penyelidik dan pelajar UMT akan berinteraksi rapat dengan organisma serta persekitaran bagi memahami proses ekologi, pengaruhnya kepada manusia dan kesan aktiviti manusia kepada alam.

“Ini memerlukan sebahagian spesimen sama ada haiwan, tumbuhan, tanah atau sedimen dibawa balik dan disimpan sebagai rujukan dan kajian pada masa hadapan.

“Di sinilah RRC memainkan peranan penting dalam menguruskan spesimen-spesimen ini kekal dalam keadaan yang terbaik supaya kajian dan rujukan oleh penyelidik dapat dilakukan secara berterusan,” tuturnya.

Sambungnya lagi, sebahagian besar spesies-spesies yang berasal dari Malaysia disimpan di beberapa pusat repositori luar negara seperti di Eropah, Amerika dan negara jiran.

Dengan kata lain, banyak maklumat kekayaan semula jadi Malaysia berada di negara asing.

“Rentetan itu, RRC sebenarnya memainkan khidmat negara yang sangat penting sebagai ‘perpustakaan’ yang menyimpan bukti fizikal kepelbagaian alam semula jadi Malaysia. Telah banyak penerbitan saintifik menggunakan spesimen yang disimpan di RRC.

“RRC berusaha mewujudkan pentas pembelajaran yang menyeronokkan dan interaktif untuk pelajar, belia dan golongan dewasa.

“Semua ini bertujuan untuk mewujudkan kesedaran dan pengetahuan mengenai peranan dan fungsi RRC kepada masyarakat dan negara serta potensi besar RRC untuk menjadi sebuah Pusat Repositori dan Rujukan alam semula jadi marin yang terkenal di dunia,” ujarnya.

Koleksi spesimen alam semula jadi

Sementara itu, Pengarah Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS), UMT, Profesor Ts Dr Mohd Fadzil Mohd Akhir berkata, RRC mempunyai koleksi spesimen alam semula jadi dan sehingga kini RRC mengurus dan menyimpan hampir 50 ribu spesimen terdiri daripada spesimen zoologi (haiwan), botani (tumbuhan), geologi (sedimen dan fosil) dan juga genomik (untuk kajian genetik).

“Lebih membanggakan, terdapat 70 spesimen yang dikelaskan sebagai ‘type’ spesimen iaitu spesimen yang digunakan untuk menamakan spesies baru dalam sains. Kesemua spesimen ini mempunyai nilai keseluruhan hampir RM7.5 juta.

“Pengurusan spesimen dan data di RRC juga adalah mengikut amalan antarabangsa berdasarkan kepada format National Park Service, USA, yang diguna pakai oleh banyak muzium alam semula jadi di pelbagai negara.

“RRC juga telah menaik taraf pangkalan data dan kini menggunakan perisian Proficio yang mana turut diguna pakai oleh Smitsonian Institution, USA,” katanya.

Bagi menjayakan program tersebut, UMT telah mendapat sokongan dan kerjasama dari Sustainable Ocean Alliance (SOA) dan UNIQLO.

SOA merupakan satu komuniti global bagi golongan belia, usahawan, pakar dan penyelidik yang mana semuanya bekerjasama untuk menyelesaikan cabaran yang dihadapi oleh lautan kita.

UMT turut teruja apabila UNIQLO yang merupakan jenama pakaian dari Jepun sudi melibatkan diri bersama masyarakat terutama di Terengganu untuk lebih cakna kepada kelestarian alam sekitar marin.

Selain daripada tajaan bagi program RRC@INOS Open Day, UNIQLO turut menyumbangkan mesin Plastic Upcyling bagi kitar semula plastik.

Untuk itu, UMT juga bersedia untuk bekerjasama dengan UNIQLO dalam pelbagai aspek seperti mengurangkan jejak karbon dalam industri pakaian dan fesyen.

Turut hadir dalam majlis perasmian WOW ini adalah Wakil dari UNIQLO Malaysia dan Sustainable Ocean Alliance, Pegawai-pegawai Utama UMT, pelajar-pelajar sekolah dan komuniti setempat.

Artikel berkaitan 

Azizulhasni terima Ijazah Kehormat UMT

UMT, Yayasan KRU jalin kerjasama dalam bidang keusahawanan dan industri kreatif

Peserta teruja sertai Kem Sains Cuti Sekolah 2.0


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok