UMT, Yayasan KRU jalin kerjasama dalam bidang keusahawanan dan industri kreatif
UMT, Yayasan KRU jalin kerjasama dalam bidang keusahawanan dan industri kreatif

UMT, Yayasan KRU jalin kerjasama dalam bidang keusahawanan dan industri kreatif

Roshlawaty Md Raieh
12 Sep 2022 02:23pm
A
A
A

Dalam usaha memperkasakan bidang keusahawanan dan industri kreatif, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Yayasan KRU dan KRU Entertainment di ibu pejabat KRU, Cyberjaya, baru-baru ini.

MoU ini merupakan usaha kedua-dua pihak bagi menyokong keterlibatan industri dengan ahli akademik.

Naib Canselor UMT, Profesor Datuk Dr Mazlan Abd Ghaffar berkata, kolaborasi ini diterajui oleh Pusat Pemindahan Ilmu dan Jaringan Industri, UMT untuk berganding bahu bersama industri melalui program-program yang akan dijalankan secara bersama terutamanya dalam bidang keusahawanan digital dan industri kreatif.

Tambah beliau, peluang kerjasama dari pelbagai latar belakang industri kreatif boleh dijalankan secara bersama seperti penerbitan buku dalam bentuk eBook dan audio book dan iLike – eCommerce platform keusahawanan untuk mempamerkan produk hasil inovasi pelajar dan staf seperti di platform Shopee, Lazada dan seumpamanya.

Sambung beliau lagi, jalinan kerjasama strategik MoU antara UMT - Yayasan KRU dan KRU Entertainment ini, akan dapat diperkasakan demi meningkatkan kemahiran bakat mahasiswa dan graduan UMT menerusi pelbagai program latihan ‘up-skilling’ dan ‘re-skilling’ keusahawanan digital.

“Kerjasama ini juga akan diteruskan dalam pembangunan bakat yang melibatkan ahli akademik, staf Pengurusan dan Profesional serta sokongan UMT melalui sangkutan industri serta program latihan dalam bidang seni kreatif,” ujarnya.

Sementara itu, Datuk Norman Abdul Halim dalam ucapannya berkata, KRU sedang giat menjalinkan kerjasama dengan institusi-institusi pengajian tinggi dalam usaha memartabatkan lagi platform keusahawanan digital dan industri kreatif yang boleh dilakukan dalam pelbagai cara walaupun daripada latar belakang yang berbeza.

Tuturnya lagi, penglibatan bersama industri dan ahli akademik diharapkan akan melahirkan lebih ramai usahawan yang kreatif pada masa akan datang dalam menjana ekonomi negara.

“Kerjasama ini bakal meningkatkan kualiti pendidikan dan melahirkan lebih ramai usahawan digital dalam kalangan mahasiswa dan graduan,” katanya.

Artikel berkaitan

UMT tubuh Diving School dalam kampus, sedia pelbagai perkhidmatan berkaitan selam skuba

Animasi, industri kreatif penuh kreativiti

Pasangan kembar antara 309 graduan kelas pertama dirai dalam Majlis Konvokesyen UMT


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok