UPSI perkukuh kerjasama dengan TSUOS, Uzbekistan
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) memperkukuhkan kerjasama apabila menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan Tashkent State University Of Oriental Studies (TSUOS), Uzbekistan, baru-baru ini.
MoU yang ditandatangani secara dalam talian itu menyaksikan TSUOS diwakili oleh Rektornya, Dr Gulchekhra Rikhsiyeva Shavkatovna manakala UPSI diwakili Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff.
Md Amin berkata, hubungan antara UPSI dengan TSUOS sudah terjalin sejak 2017 yang mendorong universiti itu menghantar seorang pensyarah dari FBK pada 2019 untuk membantu dalam memantapkan pengajaran Bahasa Melayu kepada pelajar di TSUOS.
“Sehubungan itu, dalam usaha untuk mengeratkan jalinan kerjasama sedia ada, pada hari ini kedua-dua pihak telah bersetuju untuk memperbaharui semula MoU bagi tempoh lima tahun akan datang,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.
Turut hadir, Duta Besar Malaysia di Uzbekistan, Hendy Assan; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPSI, Profesor Dr Marzita Puteh; Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman; Dekan FBK, Profesor Madya Dr Maizura @Mastura Muhammad; Pro-rektor Hubungan Antarabangsa TSUOS, Dr Nodir Abdullaev dan Ketua Jabatan Hubungan Antarabangsa TSUOS, Dr Avazmuhammad Muhsivov.
Sementara itu, Gulchekhra dalam ucapannya berkata, menerusi MoU itu, hubungan kerjasama kedua pihak akan diperkukuhkan untuk memajukan bidang pengajian Bahasa Melayu di TSUOS.
“Menerusi kerjasama ini, kami akan melaksanakan program pertukaran pelajar dan staf akademik serta pertukaran kepakaran, maklumat dan bahan-bahan akademik.
“Program mobiliti pelajar dan staf akademik, penyeliaan bersama untuk program pascasiswazah serta syarahan, penyelidikan dan penerbitan bersama juga akan diadakan.
“Kami juga ingin melaksanakan program profesor atau pensyarah pelawat, menjayakan persidangan, bengkel dan latihan serta lain-lain bidang yang dipersetujui bersama oleh kedua-dua pihak,” ujarnya.
Kini, TSUOS mempunyai lebih 50 mahasiswa yang mempelajari Bahasa Melayu sebagai bahasa utama dan dalam masa yang sama berpeluang mendalami sastera, sejarah, budaya, politik serta ekonomi berkaitan negara Malaysia.
Seramai enam mahasiswa yang tamat pengajian sarjana Bahasa Melayu sudah dilantik sebagai guru Bahasa Melayu di TSUOS.
Artikel berkaitan
UPSI, Universiti Harvard jalin kerjasama laksana program pembangunan profesional akademia
UPSI sahut inisiatif Micro Credential KPT, jalin kerjasama dengan MQA
Faizul dinobat Ikon Ulul Albab UPSI, sedia galas tanggungjawab