UTHM rai alumni antarabangsa dan bakal pelajar di Batam
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Pusat Kemajuan Kerjaya dan Alumni (PKKA) menganjurkan majlis perasmian Alumni Chapter Antarabangsa Perkumpulan Pelajar dan Alumni Batam (PERKAP) di Hotel Golden View, Batam, Indonesia baru-baru ini sekali gus mengadakan perjumpaan dengan bakal pelajar dari Batam yang akan mendaftar di UTHM nanti.
Majlis tersebut merupakan program pertama bagi Chapter Alumni Antarabangsa meningkatkan keterlihatan universiti di peringkat antarabangsa malah ia juga adalah satu langkah permulaan ke arah pembentukan alumni yang lebih aktif selain sebagai usaha menjalin hubungan erat dalam kalangan mantan dan penuntut.
Pengarah PKKA, PM Ir Dr Muhammad Saufi Kamarudin berkata, pihak universiti bangga terhadap alumni UTHM kerana telah memberikan komitmen yang jitu dengan memulakan langkah awal bagi mempromosikan universiti di peringkat global.
“Kehadiran UTHM ke Batam merupakan suatu pengiktirafan dan penghargaan kepada para alumni di sana yang sentiasa menyokong universiti selama ini.
“Justeru, pihak universiti sangat gembira melihat kejayaan alumni yang kini menjadi individu penting dalam sektor pendidikan di Kepulauan Riau (Kepri) malahan ada yang menjadi ahli politik bertaraf Senator,” katanya ketika menyempurnakan Alumni Chapter Antarabangsa PERKEP, baru-baru ini.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah alumni Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV) 2016, Datuk Dr Hardi; Kepala Dinas Pendidikan Kepri, Dr Andi Agung; Rektor-rektor Pusat Pengajian Tinggi Kepri dan 20 Alumni UTHM bersama 50 bakal pelajar universiti terbabit.
Pada majlis itu juga menyaksikan Hardi dilantik secara rasmi sebagai Presiden pertama PERKAP dan penubuhan perkumpulan ini akan menjadi pendorong kepada pelajar dan bakal mahasiswa UTHM melanjutkan pelajaran.
Dalam pada itu, Hardi menyeru kepada alumni untuk bersama-sama menyokong pembangunan pendidikan kepri dan memilih UTHM sebagai wadah institusi pendidikan utama anak-anak kepri yang akan menyambung pengajian.
Seterusnya, Hardi turut berkongsi pengalaman semasa melanjutkan pengajian peringkat doktor falsafah di UTHM.
Ujarnya, persekitaran kampus yang baik dan berkat sokongan pensyarah, dia akhirnya menjadi lebih bersemangat untuk belajar sehingga berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang.
Artikel berkaitan
USM bangunkan lima inovasi, bantu tingkatkan pengeluaran Lada Sarawak
UPM hasilkan inovasi alat navigasi bantu pesakit demensia
Penyelidik UKM reka corak warisan Melayu pada telekung